Bursa Malaysia dibuka tinggi

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi sedikit hari ini disokong oleh kekukuhan harga minyak mentah dunia yang meningkatkan keyakinan pelabur di tengah-tengah kebimbangan terhadap penularan pandemik COVID-19.

Para pelabur memberikan reaksi positif kepada pengumuman FTSE Russell pada Khamis untuk mengekalkan Malaysia dalam senarai World Government Bond Index (WGBI) pada semakan interim, walaupun keputusan itu telah dijangkakan.

Pada 9.05 pagi, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.68 mata atau 0.12 peratus kepada 1,332.52 daripada 1,330.90 pada Khamis.

Indeks utama itu dibuka 0.66 mata lebih kukuh kepada 1,331.56.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 295 berbanding 51, manakala 157 kaunter tidak berubah, 1,418 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 633.57 juta bernilai RM169.20 juta.

Maybank Investment Bank Research (Maybank IB Research) dalam satu nota penyelidikan hari ini berkata FTSE Russell mengiktiraf langkah yang diambil oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menambah baik kecairan bon dan juga pertukaran asing.

“Keputusan utama dijangka dibuat pada semakan tahunan pada September tahun ini dan kami menjangka Malaysia akan terus dikekalkan dalam WGBI,” kata firma penyelidikan itu.

Dalam nota penyelidikan berasingan, ia berkata meskipun pemulihan daripada penurunan baru-baru ini, prospek jangka pendek dijangka suram, apabila Moody telah menurunkan penilaian sistem perbankan Malaysia kepada negatif daripada stabil.

“Dari segi teknikalnya, kami menjangka FBM KLCI berada dalam jajaran antara 1,300 dan 1,350 hari ini. Sokongan menurun dijangkakan pada paras 1,240 dan 1,211,” kata firma itu.

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Hartalega naik 20 sen kepada RM7.00, Petronas Chemicals meningkat tujuh sen kepada RM4.83, Petronas Gas menokok 24 sen kepada RM15.54, Hong Leong Bank menambah 18 sen kepada RM13.32 dan IHH naik 18 sen kepada RM5.10.

Petronas Gas, Hartalega dan Hong Leong Bank juga merupakan antara kalangan kaunter paling untung di Bursa Malaysia hari ini.

Kaunter paling cergas terus didominasi oleh saham berkaitan minyak dan gas.

Armada dan Velesto naik dua sen setiap satu masing-masing kepada 18.5 sen dan 19 sen, Sapura Energy meningkat 1.5 sen kepada 10.5 sen, Hibiscus mengukuh 6.5 sen kepada 49.5 sen dan Borneo Oil menambah setengah sen kepada 2.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 36.99 mata kepada 9,222.74, Indeks FBM Emas Shariah menambah 58.44 mata kepada 10,116.37 manakala Indeks FBMT 100 naik 24.43 mata kepada 9,124.97.

FBM 70 meningkat 106.07 mata kepada 10,850.83 dan FBM Ace menambah 38.65 mata kepada 4,005.13.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.97 mata kepada 105.86, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 6.83 mata kepada 12,083.82 tetapi Indeks Perladangan susut 18.27 mata kepada 6,108.01.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )