Bursa Malaysia dibuka tinggi

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini, tetapi susut kemudiannya berikutan pengambilan untung selain menjejaki kemerosotan semalaman Wall Street susulan bimbang peningkatan aset berisiko menjangkaui prospek ekonomi, kata peniaga.

Pada 9.07 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 2.43 mata kepada 1,572.73 daripada 1,575.16 semasa ditutup semalam.

Indeks dibuka tinggi 1.10 mata kepada 1,576.26.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 265 berbanding 141, manakala 334 kaunter tidak berubah, 1,161 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 363.91 juta unit bernilai RM202.71 juta.

Dalam nota hari ini, Rakuten Trade Sdn Bhd berkata pergerakan saham AS berhenti seketika semalam berikutan ketegangan politik yang meningkat di Semenanjung Korea dan kemungkinan wujud semula perang perdagangan AS-China.

“Oleh itu, kami menyaksikan pembetulan di pasaran Asia hari ini selepas peningkatan yang kukuh. Di peringkat tempatan, FBM KLCI antara yang mencatatkan prestasi terbaik di rantau ini dijangka mengalami penjualan hari ini,” katanya.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata walaupun tinggi semalam, peningkatan oleh indeks utama menjadi rendah berikutan aktiviti pengambilan untung susulan pelabur segera menyimpan keuntungan selepas pemulihan yang kukuh baru-baru ini.

“Walaupun terdapat kenaikan, kami berpendapat peningkatan yang kukuh kini semakin sukar.

“Buat masa ini, kami menyaksikan paras psikologi 1,600 kekal sebagai halangan utama, manakala paras sokongan pada sekitar 1,530,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank merosot lima sen kepada RM8.15, Tenaga susut empat sen kepada RM11.86, Public Bank berkurangan dua sen kepada RM17.36 dan IHH Healthcare turun tujuh sen kepada RM5.56.

Petronas Chemicals tidak berubah pada RM6.89.

Daripada saham paling aktif, Powerwell berkurangan 1.5 sen kepada 36.5 sen, AirAsia Group susut satu sen kepada RM1.04, Lion Industries menambah enam sen kepada 34 sen, Aco Group naik 1.5 sen kepada 69 sen dan Vizione meningkat 3.5 sen kepada 50.5 sen.

Indeks FBM Emas susut 5.74 mata kepada 11,071.64 dan Indeks FBMT 100 merosot 9.65 mata kepada 10,925.04.

Indeks FBM Emas Shariah naik 0.19 mata kepada 12,448.87, FBM 70 meningkat 17.57 mata kepada 13,634.82 dan FBM ACE melonjak 90.41 mata kepada 5,953.32.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.29 mata kepada 141.44, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 39.71 mata kepada 13,833.54 manakala Indeks Perladangan menambah 1.72 mata kepada 6,830.31.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )