Bursa Malaysia dibuka tinggi pada pagi

Bursa Malaysia dibuka tinggi pada pagi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi pada hampir seluruh papan hari ini, susulan pembelian sederhana dengan didahului kaunter perkhidmatan kewangan, barangan dan perkhidmatan perindustrian serta penjagaan kesihatan.

Prestasi bursa tempatan itu seiring dengan bursa-bursa serantau.

Pada 9.01 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.18 mata kepada 1,512.84 daripada 1,511.66 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks itu dibuka 1.09 mata lebih tinggi kepada 1,512.75 pagi ini.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 242 berbanding 38 manakala 211 kaunter tidak berubah, 1,618 kaunter tidak diniagakan dan 43 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 171.56 juta unit bernilai RM74 juta.

Prestasi di bursa tempatan dan serantau menjejaki pergerakan Wall Street yang tinggi semasa memulakan minggu ini, dengan jangkaan pakej rangsangan dipersetujui dalam tempoh terdekat.

Purata Perindustrian Dow Jones naik 410 mata kepada paras melebihi 27,500.

“Kami menjangkakan pasaran serantau mengekalkan aliran meningkat hari ini dengan didorong pembelian asas meluas.

“Di peringkat tempatan, kami mengunjurkan FBM KLCI mengekalkan kenaikan memandangkan minat terhadap saham berkaitan pandemik terus memperoleh minat belian,” menurut Rakuten Trade dalam nota penyelidikan hari ini.

Firma pembrokeran itu berkata indeks penanda aras mungkin menguji paras 1,520 hari ini, seterusnya keluar daripada keadaan tidak banyak berubah yang dialami sejak sekian lama.

Malacca Securities Sdn Bhd pula berkata fokus sektor hari ini termasuk kaunter teknologi.

Ia berkata terdapat minat belian baru dalam beberapa hari lepas susulan prospek positif.

Sementara itu, sektor kesihatan juga menunjukkan langkah pemulihan awal kerana para pelabur membeli pada harga lebih rendah bagi saham yang terjejas.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik dua sen kepada RM7.12, Public Bank menokok empat sen kepada RM15.46, Top Glove tidak berubah pada RM8.77 dan Hartalega menambah enam sen kepada RM17.48.

Bagi saham aktif, Perak Transit dan XOX masing-masing naik setengah sen kepada 29 sen dan 18 sen, Ikhmas Jaya menambah satu sen kepada 19 sen dan Kanger International menokok 1.5 sen kepada 22 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 15.34 mata kepada 10,902.63 dan Indeks FBM Emas Syariah naik 9.31 mata kepada 13,054.36.

FBM 70 menambah 51.22 mata kepada 14,253.82, Indeks FBMT 100 menokok 16.02 mata kepada 10,727.00 dan FBM ACE melonjak 74.88 mata kepada 10,128.73.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 29.90 mata kepada 12,357.36, Indeks Perladangan menambah 6.22 mata kepada 7,069.80 serta Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.35 mata kepada 136.12.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)