Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia pulih daripada kerugian semalam untuk dibuka tinggi pagi ini sejajar dengan kebanyakan pasaran serantau, dipacu oleh minat diperbaharui dalam kalangan pelabur ekoran harga saham yang murah, kata para peniaga.

Pada pukul 9.15 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 0.72 mata kepada 1,584.40 selepas dibuka 1.31 mata lebih tinggi pada 1,584.99.

Saham untung mengatasi rugi dengan 392 berbalas 202 manakala 341 kaunter tidak berubah, 1,236 tidak diniagakan dan 28 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 951.23 juta bernilai RM396.16 juta.

Dalam pada itu, Malacca Securities Sdn Bhd menjangkakan prestasi cemerlang baru-baru ini yang memerlukan pengunduran menyaksikan FBM KLCI menyusut dengan peningkatan sejak awal bulan ini telah menjuruskan kepada perubahan sentimen dengan pelabur pantas “mengunci” keuntungan yang diraih sebelum ini.

“Sementara itu, ketidakpastian sama ada Belanjawan 2021 akan diluluskan ataupun tidak turut menjejaskan sentimen di pasaran tempatan,” katanya dalam satu nota penyelidikan di sini hari ini.

Bergerak ke hadapan, firma penyelidikan itu turut mengunjurkan pergerakan tidak menentu ini akan berterusan dengan beberapa kegiatan membeli mengambil tempat sementara kaunter berharga murah akan meningkat, didorong oleh pasaran yang dipacu oleh kecairan dan pembelian berpilih.

“Kami terus berpihak kepada sektor perladangan berikutan kenaikan harga minyak sawit mentah yang belum lagi menunjukkan sebarang corak pembalikan pada ketika ini. Sektor pembinaan juga semakin baik dengan jangkaan pemberian beberapa pakej untuk projek mega infrastruktur,” katanya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank turun 5.0 sen kepada RM8.05, Public Bank jatuh 14 sen kepada RM18.24, TNB menyusut 2.0 sen kepada RM111.22, sementara Top Glove meningkat 8.0 sen kepada RM7.02, dan Petronas Chemicals tidak berubah pada RM6.77.

Kaunter paling cergas, Key Alliance, VSolar, Metronic Global dan Trive Property masing-masing tidak berubah pada 6.0 sen, 4.5 sen, 10.5 sen dan 1.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 28.51 mata pada 11,405.49, Indeks FBM Emas Shariah mengembang 75.09 mata kepada 13,154.98, Indeks FBMT 100 naik 24.03 mata kepada 11,185.23, FBM 70 melonjak 105.68 mata kepada 14,671.02, dan FBM ACE meningkat 31.25 mata kepada 11,171.93.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian memperoleh 0.32 mata kepada 158.71, Indeks Perladangan naik 6.95 mata kepada 7.355.94 tetapi Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 66.84 mata kepada 13.940.29.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )