Bursa Malaysia dibuka tinggi

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi hari ini, mengambil petunjuk daripada prestasi kukuh semalaman di Wall Street dan Eropah.

Saham Amerika Syarikat (AS) ditutup pada paras tertinggi lebih tiga minggu pada Selasa susulan laporan pendapatan korporat yang agak tinggi, manakala Britain dan Kesatuan Eropah (EU) dilihat mencapai kemajuan dalam perjanjian Brexit menjelang sidang kemuncaknya.

Pada 9.07 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.89 mata pada 1,571.12, daripada 1,566.23 penutup Selasa.

Indeks penanda aras itu dibuka 1.87 mata lebih rendah pada 1,568.10.

Di pasaran yang lebih meluas, kaunter naik mengatasi kaunter turun sebanyak 211 berbanding 62 dengan 185 kaunter tidak berubah, manakala 1,518 tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung.

Sejumlah 134,23 juta saham bertukar tangan bernilai RM69.12 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd, berkata meskipun peningkatan positif, tiada minat belian susulan semalam menyebabkan ketidaktentuan pada indeks.

Bagaimanapun, ia berkata aktiviti pengambilan untung adalah sederhana kerana terdapat minat belian di tempat lain, dan lazimnya dilihat baik bagi pasaran saham tempatan dalam tempoh terdekat.

“Kenaikan dalam kebanyakan indeks global utama semalaman akan membantu meningkatkan sentimen di pasaran saham Malaysia dan ini juga akan membantu menyongsang pengunduran ringan semalam,” katanya.

Rintangan berada di paras 1,572 dan 1580, dengan sokongan yang di paras 1,562 dan 1,550, tambahnya.

Antara saham berwajaran tinggi, Maybank dan Petronas Chemicals menambah lima sen setiap satu masing-masing kepada RM8.56 dan RM7.34, manakala Tenaga naik enam sen kepada RM13.76. – BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )