Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia diniagakan tinggi pagi ini, dirangsang oleh kemunculan kegiatan membeli dalam kalangan pelabur yang ingin mendapatkan saham terbaik pada harga murah selepas pasaran tempatan mengalami jualan besar-besaran semalam.

Seiring dengan trend menaik bursa serantau yang lain, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.41 mata kepada 1,561.12 pada pukul 9.07 pagi berbanding 1,555.71 pada penutupan urus niaga petang Khamis.

Indeks utama dibuka 0.45 mata lebih tinggi pada 1,556.16.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi 215 berbalas 143 manakala 264 kaunter tidak berubah, 1,607 tidak diniagakan dan 37 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 268.39 juta unit bernilai RM102.47 juta.

Semalam, kerajaan mengumumkan meluluskan lesen dan insentif untuk Risen Energy Co Ltd untuk mengeluarkan sel solar dan modul solar di Malaysia bernilai RM42.2 bilion.

Menurut Malacca Securities dalam nota penyelidikannya, langkah itu akan menjadikan negara ini sebagai hab pengeluaran bersepadu untuk produk solar .

“Kami menjangkakan pengembangan modul solar di Malaysia dan permintaan tenaga hijau yang semakin meningkat akan memberi ‘sinar’ kepada kaunter yang berkaitan dengan solar.

“Selain itu, pelabur mungkin memberi fokus kepada saham minyak dan gas memandangkan harga minyak mentah kini berada melepasi AS$75 setong,” katanya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik satu sen kepada RM8.21, Public Bank dan Tenaga masing-masing meningkat tiga sen kepada RM4.21 dan RM9.90 manakala CIMB lebih tinggi sebanyak lima sen kepada RM4.75.

PetChem turun enam sen kepada RM7.94 sementara IHH tidak berubah pada RM5.61.

Bagi saham aktif, MMAG naik setengah sen kepada 17 sen, KNM dan Tanco masing-masing tidak berubah pada 16.5 sen dan 15 sen, Serba Dinamik turun dua sen kepada 51.5 sen dan HB Global lebih rendah satu sen kepada 38 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 32.66 mata pada 11,358.3, Indeks FBMT 100 menambah 32.46 mata kepada 11,065.24, FBM ACE naik 2.65 mata kepada 7,356.97, Indeks FBM Emas Syariah menokok 25.95 mata kepada 12,393.57, dan FBM 70 mengembang 20.27 mata kepada 14,685.26.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 48.56 mata pada 15,340.07, sementara Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian tidak berubah pada 187.14, dan Indeks Perladangan turun 0.75 mata kepada 6,516.32.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )