Bursa Malaysia dibuka tinggi

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini dengan setiap sektor berada dalam bahagian positif selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump melahirkan keyakinannya tentang potensi mencapai perjanjian perdagangan dengan China.

Pada 9.08 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 9.08 mata atau 0.6 peratus kepada 1,576.42 berbanding 1,567.34 yang dicatatkan pada Khamis.

Indeks utama itu dibuka naik 9.17 mata kepada 1,576.51.

Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 215 berbanding 77, manakala 195 kaunter tidak berubah, 1,493 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 144.29 juta saham bernilai RM65.89 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata Wall Street juga meningkat selepas mencecah paras tinggi baharu berikutan peningkatan kemungkinan penyelesaian perdagangan dicapai apabila AS dan China dilaporkan semakin hampir memeterai perjanjian perdagangan awal.

Peningkatan dalam saham berkaitan kewangan membantu melonjakkan Dow (+0.8 peratus) dan S&P500 (+0.9 peratus) mencatatkan paras tinggi, susulan hasil Perbendaharaan yang lebih kukuh manakala Nasdaq naik 0.7 peratus.

Keyakinan terhadap perjanjian perdagangan AS-China kelihatan semakin cerah apabila Trump dalam ciapannya di laman Twitter beliau berkata: “Getting VERY close to a BIG DEAL with China. They want it, and so do we!”. (Semakin HAMPIR capai PERJANJIAN dengan China. Mereka mahukannya dan begitu juga kita!”)

Malacca Securities berkata pasaran tempatan mungkin terus bergerak ke arah paras 1,580, diikuti paras 1,590.

“Kami merasakan kaunter berharga rendah, terutamanya indeks FBM ACE teknologi berat mungkin mencatatkan dagangan kukuh di atas sokongan aktiviti giliran dagangan.

“Selepas hampir dua bulan berada di fasa penstabilan, indeks teknologi dijangka mencatatkan satu lagi gelombang kenaikan di tengah-tengah pemulihan jualan semikonduktor global pada Oktober 2019,” kata firma penyelidikan itu dalam satu nota.

Perkembangan terkini dari United Kingdom yang membayangkan Pemimpin Parti Konservatif Boris Johnson bakal menang majoriti dalam pilihan raya umum negara itu juga menyokong sentimen pasaran.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Tenaga meningkat 12 sen kepada RM13.26, Maybank naik enam sen kepada RM8.57, IHH menokok tujuh sen kepada RM5.43 dan Hong Leong Bank menambah 24 sen kepada RM17.00.

Sebaliknya, Maxis turun satu sen kepada RM5.15 dan Petronas Gas susut dua sen kepada RM16.38 selepas kenaikan semalam.

Dalam kalangan kaunter cegas, Dynaciate naik satu sen kepada 9.5 sen, Ekovest meningkat 1.5 sen kepada 82.5 sen dan Xideland tidak berubah pada 11 sen.

Indeks FBM Emas meningkat 54.85 mata kepada 11,213.88 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 62.38 mata kepada 11,855.51 manakala Indeks FBMT 100 naik 54.37 mata kepada 11,013.55.

FBM Ace meningkat 8.03 mata kepada 4,983.69 dan FBM 70 menokok 31.95 mata kepada 14,017.37.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 85.13 mata kepada 15,279.27, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.52 mata kepada 151.18 dan Indeks Perladangan menambah 30.45 mata kepada 7,530.77.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )