Bursa Malaysia dibuka tinggi

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia meningkat pada awal dagangan Rabu, didorong oleh minat belian baharu selepas diasak tekanan jualan pada Isnin.

Prestasi bursa tempatan itu pada awal hari ini juga menyusuli kenaikan di Wall Street biarpun terdapat jangkaan peningkatan kadar faedah ketika peniaga memburu saham perbankan berikutan pelaporan pendapatan yang kukuh.

Pada 9.10 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 8.40 mata kepada 1,589.54 daripada 1,581.14 pada akhir dagangan Isnin.

Pasaran ditutup semalam bersempena cuti umum Nuzul Al-Quran.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 284 berbanding 135 manakala 278 kaunter tidak berubah, 1,574 tidak diniagakan dan 26 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 262.23 juta bernilai RM144.03 juta.

Sementara itu, Naib Presiden Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng menjangkakan berlakunya aktiviti memburu saham-saham berharga rendah berikutan prestasi pasaran serantau yang lebih memberangsangkan.

Berikutan itu, beliau mengunjurkan indeks utama akan berlegar dalam jajaran 1,575-1,590 hari ini.

Dalam pada itu, pihak Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bertindak menurunkan unjuran ekonomi global yang disusuli dengan penyusutan harga minyak mentah, termasuk minyak mentah Brent turun sekitar AS$107 setong.

Di peringkat tempatan, saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik empat sen kepada RM8.79, Petronas Chemicals menokok dua sen kepada RM10.42, IHH Healthcare meraih tujuh sen kepada RM6.47, Public Bank tidak berubah pada RM4.63 manakala Press Metal susut lima sen kepada RM6.49.

Bagi saham aktif, Cengild meningkat dua sen kepada 48.5 sen, South Malaysia naik satu sen kepada 33.5 sen, OCR menokok 1.5 sen kepada 13.5 sen, Vizione meraih setengah sen kepada 10 sen, namun Pappajack tidak berubah pada 54 sen.

Di papan indeks, Indeks FBMT 100 menambah 62.02 mata kepada 11,067.14, Indeks FBM Emas menokok 60.72 mata kepada 11,417.64, Indeks FBM Emas Shariah melonjak 84.35 mata kepada 12,098.54, FBM 70 meraih 91.70 mata kepada 13,797.13 dan FBM ACE naik 40.17 mata kepada 5,759.65.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.14 mata kepada 214.98, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 44.59 mata kepada 16,535.03 manakala Indeks Perladangan menokok 180.67 mata kepada 8,544.03.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)