Bursa Malaysia dibuka tinggi namun susut selepas itu

Bursa Malaysia dibuka tinggi namun susut selepas itu

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi namun susut selepas itu apabila pembelian semasa harga murah yang sederhana diselang-selikan telah dengan pengambilan untung berikutan ketidaktentuan yang dicetuskan epidemik 2019 novel koronavirus, kata penganalisis.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.24 peratus atau 3.78 mata kepada 1,532.02 daripada 1,535.80 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks penanda aras dibuka 3.84 mata lebih tinggi kepada 1,539.64.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 223 berbanding 90 manakala 176 kaunter tidak berubah, 1,488 kaunter tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 225.69 juta saham bernilai RM118.08 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd menerusi nota penyelidikannya berkata terdapat potensi untuk cenderung meningkat bagi jangka terdekat dengan wujudnya aktiviti pembelian semasa harga rendah selepas penjualan baru-baru ini.

“Bagaimanapun, kami juga berpendapat kenaikan itu mungkin akan dipengaruhi oleh perkembangan yang masih tidak menentu berkaitan wabak koronavirus dengan menyaksikan jumlah kes masih meningkat.

“Bagi kenaikan, kami berpandangan indeks utama dijangka menguji semula paras rintangan 1,550, yang diikuti 1,560 manakala bagi paras sokongan, ia berada pada 1,515 dan 1,500,” katanya syarikat pembrokeran saham itu hari ini.

Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengumumkan rakyat Malaysia pertama diuji positif wabak koronavirus.

Lelaki berusia 41 tahun itu merupakan antara dua kes positif baharu, menjadikan jumlah kes koronavirus di Malaysia sebanyak 10 setakat ini.

Menteri itu berkata kes satu lagi adalah melibatkan lelaki berusia 63 tahun dari China yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 18 Jan.

Di China sahaja, pihak berkuasa mencatatkan kira-kira 24,300 kes berkaitan epidemik itu dengan angka kematian 490 orang.

Antara saham berwajaran tinggi, AmBank dan Sime Darby Plantation masing-masing turun tujuh sen kepada RM3.73 dan RM5.01, Digi susut lima sen kepada RM4.35 manakala PetGas menambah 24 sen kepada RM16.70 dan Dialog naik empat sen kepada RM3.35.

Bagi saham aktif, Securemetric dan Binasat masing-masing meningkat dua sen kepada 22 sen dan 48.5 sen manakala AirAsia Group tidak berubah pada RM1.15.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 6.67 mata kepada 10,896.16, Indeks FBM Emas Syariah naik 9.93 mata kepada 11,634.28 dan Indeks FBMT 100 menokok 10.47 mata kepada 10,706.13.

FBM 70 meningkat 52.10 mata kepada 13,637.56 dan FBM Ace naik 35.55 mata kepada 5,391.55.

Mengikut sektor, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian kurang 0.30 mata kepada 144.03, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 61.02 mata kepada 14,621.70 dan Indeks Perladangan susut 20.59 mata kepada 7,124.20.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)