Bursa Malaysia dibuka tinggi pada pagi

Bursa Malaysia dibuka tinggi pada pagi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini, menjejaki prestasi aliran meningkat Wall Street, didorong harapan pelabur terhadap kejelasan menerusi keputusan pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) dan pakej rangsangan fiskal yang mungkin dirangka selepas keputusan itu dimuktamadkan, kata penganalisis.

Pada 9.05 pagi, indeks penanda aras, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.87 mata kepada 1,464.32 setelah dibuka 3.04 mata lebih baik kepada 1,464.49.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 276 berbanding 107 manakala 248 kaunter tidak berubah, 1,510 kaunter tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 321.75 juta bernilai RM105.74 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata ia menjangkakan momentum kurang memberangsangkan di bursa tempatan berterusan memandangkan pelabur akan memantau perkembangan keputusan pilihan raya AS yang meletakkan mereka bersedia bagi sebarang kemungkinan.

“Sementara itu, tumpuan pelabur mengikut pusingan sektor juga berlaku ke atas saham berharga rendah walaupun sentimen masih tidak stabil berikutan sesi pengiraan undi AS sedang berlangsung semasa tempoh dagangan pasaran hari ini.

“Kami menyaksikan sektor pembinaan menjadi tumpuan pelabur sebelum menjelang pembentangan Belanjawan 2021 dengan projek infrastruktur mega dijangka dikekalkan,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Firma pembrokeran itu berkata sektor teknologi juga mungkin kekal kukuh berasaskan prestasi teguh Nasdaq dalam tempoh semalaman.

Kenaikan di barometer pasaran tempatan disumbangkan terutama oleh Fraser & Neave yang meningkat 26 sen kepada RM31.28, Malaysian Pacific Industries menambah 16 sen kepada RM22.02 dan Hartalega menokok 10 sen kepada RM17.86.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank turun satu sen kepada RM6.99, Top Glove tidak berubah pada RM8.32 dan Public Bank meningkat empat sen kepada RM15.00.

Bagi saham aktif, Vortex Consolidated naik setengah sen kepada 5.5 sen, XOX turun 1.5 sen pada 11.5 sen, GD Express Carrier menambah dua sen kepada 41.5 sen dan Salcon tidak berubah pada 34 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 33.28 mata kepada 10,595.07, Indeks FBMT 100 menambah 30.27 mata kepada 10,401.48 dan Indeks FBM Emas Syariah menokok 37.90 mata kepada 12,708.65.

Sementara itu, FBM 70 naik 78.67 mata kepada 13,893.29 dan FBM ACE melonjak 94.12 mata kepada 9,853.93.

Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 21.26 mata kepada 12,003.33, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.34 mata kepada 142.62 dan Indeks Perladangan menambah 4.30 mata kepada 6,847.68.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )