Bursa Malaysia dibuka tinggi pada pagi

Bursa Malaysia dibuka tinggi pada pagi

KUALA LUMPUR,. Dagangan di Bursa Malaysia pulih daripada penyusutan semalam untuk dibuka tinggi pagi ini, dipacu oleh minat belian diperbaharui dengan sentimen kekal bercampur-campur terhadap tinjauan ekonomi domestik, kata peniaga.

Pada jam 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi indeks penanda aras pasaran meningkat 3.08 mata kepada 1,505.05 daripada penutupan Khamis 1,501.97.

Indeks dibuka 1.39 mata lebih tinggi pada 1,503.36.

Di pasaran meluas, kaunter untung mendahului kaunter rugi dengan 238 berbanding 148 manakala 284 kaunter tidak berubah, 1,546 tidak diniagakan dan 32 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah 361.36 juta bernilai RM148.99 juta.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd berkata FBM KLCI menyusut semalam kepara peningkatan kes COVID-19 tempatan, sementara pelabur terus memantau perkembangan politik tempatan.

“Sementara itu, berdasarkan prestasi semalaman Nasdaq, kami percaya aktiviti membeli ketika harga sama murah akan muncul di sektor teknologi.

“Selain itu, dengan kenaikan harga logam, pelabur cenderung memberi perhatian pada sektor bahan binaan, terutama membabitkan syarikat aluminium hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, tumpuan pelabur juga kepada data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2021 negara yang akan dikeluarkan hari ini.

“Untuk komoditi pula, harga minyak sawit mentah (MSM) dan minyak mentah telah menurun, sementara komoditi logam meningkat, didorong oleh permintaan global yang kian meningkat selain gangguan logistik baharu di China berikutan penutupan sebahagian pelabuhan kontena ketiga tersibuk di dunia kerana COVID-19.

“Di bursa tempatan, pelabur terus memantau paras 1,500, dengan halangan berikutnya diunjur pada 1,520, sementara sokongan ditetapkan sekitar 1,480-1,500,” tambahnya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik 2.0 sen kepada RM8.03, Petronas Chemicals menambah 1.0 sen kepada RM8, Public Bank dan TNB masing-masing tidak berubah pada RM3.95 dan RM9.70, sementara IHH Healthcare turun 2.0 sen kepada RM5.81 .

Bagi saham aktif, Opcom naik 5.5 sen kepada 57.5 sen, KNM meningkat 1.0 sen kepada 21 sen, Serba Dinamik lebih tinggi 1.5 sen kepada 43.5 sen, sementara TA Win turun 1.0 sen kepada 16 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 26.95 mata kepada 10,034.45, FBM ACE untung 3.48 mata kepada 7,148.51, FBM 70 meningkat 47.35 mata kepada 14,584.72, Indeks FBM Emas Syariah mengembang 41.23 mata kepada 12,128.18, dan Indeks FBMT 100 meningkat 25.33 mata kepada 10,749.20.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 9.26 mata kepada 14,780.59, Indeks Perladangan memperoleh 21.55 mata menjadi 6,143.08, sementara Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.63 mata kepada 189.43.

– Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)