Bursa Malaysia dibuka tinggi pada pagi

KUALA LUMPUR,. Dagangan di Bursa Malaysia meneruskan aliran kenaikannya untuk sesi kelima berturut-turut dan dibuka tinggi pada urus niaga pagi Isnin dengan pelabur yakin terhadap pemulihan ekonomi selepas perjalanan merentas negeri dibenarkan, mulai hari ini.

Pada 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengukuh 7.81 mata kepada 1,571.71 berbanding 1,563.9 pada penutupan urus niaga Jumaat minggu lalu.

Indeks utama dibuka 3.98 mata lebih tinggi pada 1,567.88.

Sentimen yang lebih baik ini turut menyaksikan indeks di Bursa Malaysia berada dalam zon positif.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi 364 berbalas 133 manakala 282 kaunter tidak berubah, 1,479 tidak diniagakan dan enam yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 396.45 juta unit bernilai RM186.90 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, prospek ekonomi yang semakin cerah terutama dengan kebenaran merentas negeri dan ke luar negara mulai hari ini akan melonjakkan minat terhadap ekuiti tempatan.

FBM KLCI juga akan terus meningkat, didorong oleh kenaikan harga komoditi dan pasaran serantau yang kukuh.

Pada hari Jumaat, harga minyak sawit mentah melonjak ke paras melebihi RM4,950, sementara harga minyak mentah berada di atas paras US$82 setong.

“Saham bertemakan pemulihan seperti syarikat penerbangan, pelancongan dan pengangkutan mungkin mendapat manfaat selepas pengumuman kerajaan pada hujung minggu untuk membuka semula sempadan perjalanan.

“Pasaran komoditi yang positif juga dilihat akan memberi keuntungan kepada saham minyak dan gas serta perladangan,” katanya firma penyelidikan itu dalam notanya hari ini.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Petronas Chemicals melonjak 13 sen kepada RM8.81, Press Metal naik 10 sen kepada RM6.19, Maybank menambah empat sen kepada RM8.09 dan Public Bank meningkat dua sen kepada RM4.10.

Genting Malaysia dan Dialog masing-masing menokok enam sen kepada RM3.19 dan RM2.90, sementara Sime Darby Plantation naik lima sen kepada RM4.29.

Bagi kaunter aktif, AirAsia Group dan AirAsia X yang mendapat rangsangan daripada jangkaan pemulihan sektor pelancongan, masing-masing meningkat 10 sen kepada RM1.29 dan satu sen kepada 9.5 sen.

Tanco lebih tinggi setengah sen kepada 24.5 sen dan Avillion naik satu sen kepada 14 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengembang 70.18 mata kepada 11,571.94, Indeks FBMT 100 naik 60.66 mata kepada 11,218.83, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 75.55 mata kepada 12,715.24, FBM 70 melonjak 101.50 mata kepada 15,196.92, dan FBM ACE naik 22.34 mata kepada 7,162.76.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 65.21 mata kepada 15,277.77, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian lebih tinggi 1.60 mata kepada 211.06, sementara Indeks Perladangan mengukuh 59.05 mata kepada 7,024.08.

– BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )