Bursa Malaysia dibuka tinggi pada pagi

KUALA LUMPUR,. Indeks utama Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Rabu, didorong minat belian sederhana dalam saham wajaran tinggi terpilih.

Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras menokok 1.74 mata kepada 1,585.94 daripada 1,584.20 ketika ditutup pada Selasa.

Ia dibuka 3.02 mata lebih tinggi kepada 1,587.22.

Bagi pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 211 berbanding 204, manakala 317 kaunter tidak berubah, 1,569 kaunter tidak diniagakan dan 45 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 421.21 juta unit bernilai RM170.69 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd menjelaskan pihaknya yakin tumpuan pasaran akan terarah kepada bakal penerima manfaat Bajet 2022 memandangkan pelabur mengambil langkah lebih jauh berundur daripada kaunter sarung tangan.

“Kami yakin minat belian yang dilihat dalam segmen bahan binaan boleh berterusan kerana ia merupakan proksi kepada sektor pembinaan.

“Harga minyak sawit mentah (MSM) telah melepasi paras RM5,000 sekali lagi, manakala harga minyak mentah meningkat melebihi paras US$86 setong didorong ketidaktentuan yang disebabkan bekalan,” menurutnya dalam nota penyelidikan pada Rabu.

Firma pembrokeran itu menambah, pelabur mungkin berdagang dalam kaunter perladangan serta minyak dan gas susulan harga komoditi yang kekal kukuh.

“Selain itu, saham pembinaan dan telekomunikasi mungkin meningkat lebih tinggi menjelang pembentangan Bajet 2022, manakala saham bahan binaan mungkin menjadi tumpuan.

“Saham bertemakan pemulihan dijangka memberi petanda baik bagi sektor pengangkutan dan logistik, serta pengguna,” jelasnya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Digi meningkat lima sen kepada RM4.42, Genting Malaysia menambah enam sen kepada RM3.24, serta Maybank dan Axiata masing-masing naik tiga sen kepada RM8.15 dan RM4.07.

Sementara itu, TNB tidak berubah pada RM9.71, Petronas Chemicals susut satu sen kepada RM8.77, Press Metal Aluminium kurang empat sen kepada RM5.72 dan Hong Leong Bank turun lapan sen kepada RM18.78.

Antara saham aktif, Vortex menokok setengah sen kepada 10.5 sen, LBS Bina naik 3.5 sen kepada 56.5 sen, NWP dan Industronics masing-masing menambah setengah sen kepada 56.5 sen dan 20 sen, manakala KNM tidak berubah pada 21.5 sen, dan Sarawak Consolidated turun lapan sen kepada 32.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 8.69 mata kepada 11,682.85, Indeks FBMT 100 menambah 9.64 mata kepada 11,316.25, FBM 70 menokok 2.27 mata kepada 15,312.59 manakala Indeks FBM Emas Shariah kurang 8.46 mata kepada 12,731.05 serta FBM ACE menguncup 12.47 mata kepada 7,157.64.

Mengikut sektor, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.53 mata kepada 209.38, Indeks Perladangan merosot 50.84 mata kepada 6,943.47 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 37.60 mata kepada 15,753.03.

– Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )