Bursa malaysia dibuka tinggi pada pagi

Bursa malaysia dibuka tinggi pada pagi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia meningkat semula daripada penurunan semalam untuk dibuka tinggi hari ini, mengambil petunjuk daripada prestasi Wall Street semalaman yang pada sekitar paras tertinggi berikutan keyakinan terhadap pendapatan korporat.

Pelabur turut menunggu maklum balas terkini daripada bank pusat terhadap inflasi yang melebihi sasaran selama beberapa bulan, kata peniaga.

Pada 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.79 mata kepada 1,537.71 daripada 1,530.92 pada Isnin.

Ia dibuka tinggi 1.29 mata kepada 1,545.87.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 229 berbanding 149, manakala 249 kaunter tidak berubah, 1,648 tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 222.85 juta unit bernilai RM232.89 juta.

Dalam nota penyelidikan, Malacca Securities Sdn Bhd berkata berikutan situasi yang kurang menggalakkan di peringkat tempatan, sentimen dijangka kekal negatif dalam tempoh terdekat tanpa sebarang petunjuk baharu positif yang ketara dalam pasaran.

“Bagaimanapun, dengan Wall Street masih dalam aliran meningkat, minat belian dijangka merangkumi saham teknologi di peringkat tempatan.

“Namun, kami menjangka terdapat aktiviti belian saham pada harga rendah yang sederhana apabila pasaran dapat melihat melangkaui Cukai Makmur dan duti setem nota kontrak pada masa depan,” katanya.

Dari segi komoditi, harga minyak sawit mentah (MSM) berada di bawah paras RM5,000 manakala harga minyak mentah tinggi sedikit.

Oleh itu, katanya saham yang perlu diberi tumpuan, saham teknologi boleh menjadi pilihan berdasarkan pendapatan yang pasti pada masa depan.

“Kami turut menjangka peniaga akan mencari saham yang mencatatkan pemulihan di bawah sektor pelancongan dan pengguna manakala TA Win yang mendapat kontrak bernilai RM2.5 bilion daripada POSCO dari Korea Selatan, dijangka memacu minat dagangan dalam sektor berkaitan logam,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Petronas Chemicals, masing-masing menambah lima sen kepada RM8.04 dan RM8.40, Public Bank naik dua sen kepada RM4.06, Tenaga meningkat enam sen kepada RM9.66 dan IHH Healthcare tidak berubah pada RM6.48.

Daripada saham aktif, TA Win naik satu sen kepada 16.5 sen, waran TA Win meningkat setengah sen kepada tujuh sen dan YBS International menambah 3.5 sen kepada 57.5 sen manakala MMAG susut setengah sen kepada 10 sen dan Top Builder merosot 2.5 sen kepada tiga sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 47.58 mata kepada 11,377.75, Indeks FBMT 100 meningkat 43.42 mata kepada 11,002.92, FBM 70 menambah 39.16 mata kepada 15,008.95, Indeks FBM Emas Shariah menokok 43.58 mata kepada 12,409.65 dan FBM ACE naik 5.26 mata kepada 7,055.49.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.98 mata kepada 203.12, Indeks Perladangan menambah 14.94 mata kepada 6,728.35 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 87.61 mata kepada 15,244.88.

– Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)