Bursa Malaysia dibuka tinggi sebelum susut

Bursa Malaysia dibuka tinggi sebelum susut

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia memulakan sesi dagangan pagi Selasa dengan mencatat peningkatan kecil namun susut kemudiannya berikutan aktiviti pengambilan untung sederhana membabitkan saham-saham wajaran tinggi terpilih ekoran keuntungan yang diraih semalam, kata peniaga.

Pada 9.55 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.67 mata kepada 1,532.74 daripada 1,535.41 pada akhir dagangan semalam.

Sewaktu dibuka, indeks tersebut menokok 0.14 mata kepada 1,535.55.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 241 berbanding 185 manakala 330 lain tidak berubah, 1,521 tidak diniagakan dan 18 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 453.28 juta unit bernilai RM234.47 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikannya hari ini berkata, kalangan penggiat pasaran ternyata lebih berhati-hati berikutan pilihan raya negeri Melaka ketika ini.

“Biarpun aktiviti dagangan kurang memberangsangkan di pasaran tempatan, kami dapati ada pihak dana asing telah bertindak membeli ekuiti tempatan sejak dua hari lalu.

“Namun, kami menjangkakan pasaran secara meluas akan menyaksikan dagangan dalam jajaran kecil ketika pelabur terus menantikan data seperti kadar pengangguran dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang akan dikeluarkan pada Jumaat ini,” katanya.

Dalam pada itu, firma pembrokeran itu menyifatkan langkah Malaysia-Singapura melancarkan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) bebas kuarantin pada akhir bulan ini khusus untuk rakyat divaksin sepenuhnya, memberi isyarat prospek lebih cerah bagi sektor penerbangan, pelancongan dan pengguna.

“Pelabur boleh menumpukan sektor penerbangan, pelancongan dan pengguna kerana berkemungkinan mendapat manfaat daripada langkah terbabit.

“Selain itu, saham teknologi mungkin berada di bawah tekanan berikutan pengumuman masing-masing yang membabitkan terbitan bonus VITROX dan peralihan papan utama JFTECH,” katanya.

Selain itu, dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Petronas Chemicals masing-masing naik 1.0 sen kepada RM8.02 dan RM8.31, IHH Healthcare menokok 6.0 sen kepada RM6.57 manakala Public Bank susut 1.0 sen kepada RM4.03 dan TNB rugi 2.0 sen kepada RM9.65.

Bagi saham aktif, Ecomate rugi 1.5 sen kepada 47 sen, KNM Group turun setengah sen kepada 21 sen, Eduspec tidak berubah pada 2.0 sen manakala Tafi Industries naik 28 sen kepada RM3.01.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 20.45 mata kepada 11,344.68. Indeks FBMT 100 berkurangan 19.76 mata kepada 10,977.83, Indeks FBM Emas Syariah merosot 26.21 mata kepada 12,372.24, FBM ACE turun 23.50 mata kepada 7,030.33 dan FBM 70 kehilangan 29.31 mata kepada 15,015.65.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.35 mata kepada 202.05, Indeks Perladangan berkurangan 3.97 mata kepada 6,725.19 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 17.20 mata kepada 15,154.09.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)