Bursa Malaysia dibuka tinggi sedikit

Bursa Malaysia dibuka tinggi sedikit

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi sedikit pagi ini tetapi susut kemudiannya apabila sentimen pasaran yang lemah telah menyebabkan saham berkaitan indeks jatuh.

Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 12.23 mata kepada 1,542.26 daripada paras 1,554.49 pada Jumaat, selepas dibuka tinggi naik 2.58 mata kepada 1,557.07.

Suasana pasaran negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 295 berbanding 114, dengan 167 kaunter tidak berubah, 1,407 tidak diniagakan dan 36 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 246.51 juta saham bernilai RM137.50 juta.

Rakuten Trade Sdn Bhd dalam nota penyelidikannya berkata dengan penularan novel koronavirus masih belum mereda, laporan terkini data pekerjaan Amerika Syarikat (AS) memburukkan lagi keyakinan yang telah lemah apabila Wall Street jatuh berikutan aktiviti pengambilan untung di seluruh papan.

“Oleh itu, kami percaya pasaran serantau akan berdepan keadaan turun naik hari ini. Kami menjangkakan FBM KLCI turun di bawah paras sokongan segera 1,550.

“Sementara itu, kami merasakan sekiranya wabak ini berpanjangan, terdapat kemungkinan besar Rizab Persekutuan AS (Fed) akan menurunkan kadar faedahnya sekali lagi untuk meningkatkan ekonomi AS,” kata firma penyelidikan itu.

Di peringkat serantau, Indeks Straits Times Singapura turun 1.11 peratus kepada 3,146.31 manakala KOSPI Composite Index Korea Selatan jatuh 1.25 peratus kepada 2,184.20.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi Bursa Malaysia, Maybank susut empat sen kepada RM8.47, Tenaga turun 40 sen kepada RM12.34, manakala Public Bank dan Petronas Chemicals jatuh 16 sen setiap satu masing-masing kepada RM18.18 dan RM6.29.

Dalam kalangan kaunter cergas, DGB Asia turun setengah sen kepada sembilan sen, Securemetric naik dua sen kepada 23 sen dan AirAsia berkurangan enam sen kepada RM1.25.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 76.41 mata kepada 10,983.76, Indeks FBM Emas Shariah jatuh 86.85 mata kepada 11,679.36 manakala Indeks FBMT 100 berkurangan 81.02 mata kepada 10,779.69.

FBM 70 turun 85.08 mata kepada 13,739.60 dan FBM Ace susut 31.98 mata kepada 5,489.80.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.26 mata kepada 144.12, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 102.15 mata kepada 14,879.01 dan Indeks Perladangan naik 14.97 mata kepada 7,322.88.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )