Bursa Malaysia dibuka tinggi seiring prestasi Wall Street

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia meningkat pada awal dagangan pagi ini, seiring dengan prestasi Wall Street yang mencatat rekod tertinggi baharu selepas Joseph Biden mengangkat sumpah sebagai presiden ke-46 Amerika Syarikat (AS) yang turut menyuntik sentimen optimis dalam kalangan peniaga.

Pada 9.05 pagi ini, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 10.94 mata kepada 1,612.48 daripada paras 1,601.54 sewaktu ditutup semalam.

Sewaktu dagangan dibuka, indeks petunjuk utama itu menokok 6.89 mata kepada 1,608.43.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 317 berbanding 126 manakala 280 kaunter lain tidak berubah, 1,398 tidak diniagakan dan 30 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 278.38 juta unit bernilai RM158.6 juta.

Sementara itu, Public Investment Bank menerusi nota penyelidikannya hari ini berkata saham-saham AS ditutup tinggi semalaman, dipacu oleh keyakinan bahawa pelan rangsangan bernilai US$1.9 trilion dikemukakan oleh pentadbiran Biden dapat menampan impak akibat pandemik COVID-19.

Indeks S&P 500 naik 1.39 peratus, Dow Jones menokok 0.83 peratus manakala Nasdaq meningkat 1.97 per cent.

Di peringkat tempatan, firma pembrokeran Malacca Securities berkata ketidaktentuan pasaran masih ketara susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 di seluruh negara kecuali Sarawak akibat peningkatan kes COVID-19.

“Bagi sektor perbankan, kami menjangkakan minat dagangan kembali ketara susulan langkah Bank Negara Malaysia mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR), semalam,” katanya dalam nota penyelidikannya, hari ini.

Ia juga percaya bahawa langkah vaksinasi yang akan dilaksanakan pada suku pertama 2021 akan dapat memberi manfaat kepada segmen pengagihan.

Dalam pada itu, saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik tiga sen kepada RM8.12, Public Bank meraih 28 sen kepada RM21.60, PChem menambah satu sen kepada RM7.55, Tenaga meningkat empat sen kepada RM10.00 dan Top Glove mengukuh lapan sen kepada RM6.22. Bagi saham aktif, Fintec Global, KTG, Dagang Nexchange dan K-Star Sports masing-masing naik setengah sen kepada lapan sen, 25.5 sen, 23 sen dan 32.5 sen.

HPP naik enam sen kepada 77 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas meraih 72.09 mata kepada 11,666.75, Indeks FBMT 100 meningkat 72.14 mata kepada 11,394.01 dan Indeks Syariah FBM Emas menambah 83.08 mata pada 13,164.4.

Indeks FBM 70 melonjak 75.09 mata kepada 14,985.66 dan FBM ACE meningkat 148.46 points kepada 10,998.84.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 103.96 mata kepada 14,980.39, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.54 mata kepada 180.3 manakala Indeks Perladangan susut 15.96 mata kepada 7,258.75.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )