Bursa Malaysia dijangka alami dagangan secara berhati-hati minggu depan

Bursa Malaysia dijangka alami dagangan secara berhati-hati minggu depan

KUALA LUMPUR,. Aktiviti dagangan di Bursa Malaysia dijangka dijalankan secara berhati-hati minggu depan berikutan pelabur akan memantau rapat perkembangan ekonomi domestik dan global, dengan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) diunjurkan berada di antara 1,585 dengan 1,605 mata.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia yang akan diadakan pada Khamis pastinya menjadi tumpuan minggu depan, dengan kadar dasar semalaman (OPR) mungkin kekal tidak berubah pada 1.75 peratus.

“Keputusan terkini mengenai pelonggaran sekatan bagi sektor sosial dan ekonomi ke atas individu yang lengkap vaksin mungkin menyokong pertumbuhan ekonomi bagi bulan-bulan akan datang, selain langkah rangsangan fiskal terdahulu yang disediakan kerajaan.

“Berlandaskan andaian bahawa OPR dikekalkan pada 1.75 peratus, kaunter seperti bank yang berwajaran tinggi ke atas FBM KLCI akan kekal dengan status quo sekali gus tidak akan mendorong pergerakan besar dalam indeks tu,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata bagaimanapun kenaikan seterusnya mungkin berlaku jika pelabur meneruskan pembelian berlandaskan pemulihan ekonomi khususnya setelah Melaka beralih ke Fasa Dua mengikut Pelan Pemulihan Negara manakala Negeri Sembilan beralih ke Fasa Tiga.

Adam juga berkata Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia bagi Julai akan dikeluarkan pada Jumaat depan dan indeks tersebut mungkin mencatatkan pertumbuhan yang perlahan.

Ini susulan Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan dikenakan ke atas beberapa kawasan di Kuala Lumpur dan Selangor pada separuh pertama Julai sehingga membawa kepada penutupan beberapa kilang, katanya.

Beliau berkata indeks tempatan ditutup pada 1,589.19 mata pada Jumaat manakala bursa serantau mencatatkan prestasi bercampur-campur berikutan pelabur menunggu data pembayaran gaji Amerika Syarikat bagi menilai lebih jauh mengenai tempoh sebelum Rizab Persekutuan mula melaksanakan rancangannya berkaitan pengurangan pembelian aset secara beransur-ansur.

“Maxis Bhd mendahului saham untung dalam kalangan kaunter FBM KLCI selepas meningkat 3.3 peratus pada Jumaat manakala Top Glove merupakan saham paling rugi apabila merosot 3.1 peratus.

“Dalam kalangan indeks sektor, Indeks Pengangkutan dan Logistik mendahului kenaikan pada Jumaat yang meningkat 1.5 peratus sebelum ditutup,” katanya.

Beliau berkata kenaikan indeks tersebut dipacu oleh keputusan kerajaan untuk melaksanakan gelembung perjalanan Langkawi mulai 16 Sept.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, indeks yang menjadi penanda aras pasaran itu susut 0.97 mata untuk mengakhiri minggu ini pada 1,589.19 daripada 1,590.16 pada penutupan minggu lepas.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 34.45 mata kepada 11,594.98; Indeks FBMT 100 naik 19.61 mata kepada 11,292.99 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 15.39 mata kepada 12,694.75.

FBM ACE menambah 36.91 mata kepada 7,251.78 dan FBM 70 melonjak 129.91 mata kepada 15,100.25.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan turun 73.69 mata kepada 6,699.99; Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 49.87 mata kepada 15,536.77 manakala Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 3.36 mata kepada 199.92.

Indeks Penjagaan Kesihatan menambah 13.47 mata kepada 2,798.56; Indeks Tenaga kurang 0.70 mata kepada 770.94 dan Indeks Teknologi susut 0.49 mata kepada 90.11.

Bagi dagangan yang baru berakhir minggu ini, jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 17.65 bilion unit bernilai RM12.71 bilion daripada 21.78 bilion unit bernilai RM14.41 bilion pada minggu lepas.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 12.24 bilion saham bernilai RM11.38 bilion daripada 10.72 bilion saham bernilai RM12.56 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan waran pula sebanyak 1.31 bilion unit bernilai RM182.24 juta berbanding dengan 1.76 bilion unit bernilai RM250.17 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 4.09 bilion saham bernilai RM1.14 bilion daripada 6.68 bilion saham bernilai RM1.59 bilion. – BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )