Bursa Malaysia kembali meningkat

Bursa Malaysia kembali meningkat

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia meningkat semula untuk dibuka tinggi hari ini, selepas penurunan ketara semalam.

Dalam masa sama, ia menjejaki pasaran saham Amerika Syarikat (AS) yang merekodkan prestasi positif dalam tempoh semalaman.

Pada pukul 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.14 mata kepada 1,577.75 daripada 1,572.61 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks utama itu dibuka 5.63 mata lebih kukuh kepada 1,578.24 pada pukul 9 pagi.

Lingkungan pasaran adalah positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 363 berbanding 105 manakala 277 kaunter tidak berubah, 1,218 kaunter tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 727.48 juta saham bernilai RM403.83 juta.

Purata Perindustrian Dow Jones naik 0.9 peratus didorong keyakinan bahawa rang undang-undang rangsangan seterusnya akan mengimbangi peningkatan ketegangan geopolitik dengan China.

Rakuten Trade Sdn Bhd menerusi nota penyelidikan berkata, dengan menjejaki prestasi semalaman yang lebih baik di Wall Street, ia menjangkakan pasaran tempatan dan serantau mencatatkan aliran lebih tinggi hari ini dengan indeks petunjuk pasaran mungkin menguji paras rintangan segera 1,590 hari ini.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd pula berkata, FBM KLCI kemungkinan terus mencatatkan pergerakan tidak banyak berubah susulan aktiviti pembelian semasa harga rendah.

“Sebarang kelemahan dijangka disokong oleh kenaikan saham berwajaran tinggi sarung tangan. Sebaliknya, saham berharga rendah, terutama saham FBM ACE akan didorong oleh jumlah dagangan tertinggi, “katanya.

Syarikat pembrokeran itu turut berkata, peningkatan kes COVID-19 di seluruh dunia akan terus mendorong permintaan terhadap produk berkaitan penjagaan kesihatan.

“Kami juga terus cenderung kepada saham teknologi berikutan penutupan tertinggi di Nasdaq dalam tempoh semalaman, sementara saham perladangan sewajarnya seiring dengan harga minyak sawit mentah yang naik kembali melebihi RM2,700 satu tan,” menurutnya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik enam sen kepada RM7.56, Public Bank menambah 16 sen kepada RM16.72, Tenaga menokok lapan sen kepada RM11.18, Petronas Chemicals meningkat lima sen kepada RM5.95 dan Hap Seng naik 11 sen kepada RM8. 62.

Antara saham aktif, AT naik satu sen kepada 11 sen, Key Alliance menambah dua sen kepada 14 sen, sementara MQTech dan K1 masing-masing menokok empat sen kepada 26 sen dan 63.5 sen.

Saham untung, MPI menambah 76 sen kepada RM15.98, Adventa naik 61 sen kepada RM4.32 dan Rubberex meningkat 54 sen pada RM7.10.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 53.07 mata kepada 11,315.65, Indeks FBM Emas Syariah menokok 56.47 mata pada 13,400.67 dan Indeks FBMT 100 menokok 46.12 mata kepada 11,134.48.

FBM 70 meningkat 99.06 mata kepada 14,589.32 dan FBM ACE melonjak 262.77 mata kepada 9,439.59.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 1.45 mata kepada 140.51, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 74.71 mata kepada 12.916.82 dan Indeks Perladangan naik 5.68 mata kepada 7.044.16.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )