Bursa Malaysia kembali rendah selepas Trump ancam kenakan tarif baharu ke atas China

Bursa Malaysia kembali rendah selepas Trump ancam kenakan tarif baharu ke atas China

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia yang meningkat semalam dibuka tidak berubah pagi ini selepas Presiden Donald Trump mengancam untuk mengenakan lebih banyak tarif ke atas China jika rundingan perdagangan semasa tidak mencapai kata sepakat, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap rundingan yang sedang berjalan.

Pada 9 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.65 mata kepada 1,608.08 berbanding 1,609.73 pada penutupan Selasa.

Indeks dibuka 1.15 mata lebih tinggi pada 1,610.88.

Berdasarkan kedudukan pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 114 berbanding 106, manakala 195 kaunter tidak berubah, 1,586 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 111.72 juta saham bernilai RM39.85 juta.

Dalam ucapan kepada Kelab Ekonomi New York, Trump berkata US akan menaikkan tarifnya ke atas barangan China jika persetujuan gagal dicapai, sekali gus mecetuskan lebih banyak ketidaktentuan dalam pasaran global.

Namun, Malacca Securities Sdn Bhd berkata masih melihat bahawa sokongan institusi yang berterusan akan memastikan indeks utama tempatan dapat bertahan lebih lama dengan aktiviti pengambilan untung akan menjadi ciri utama pada masa ini.

“Kaunter saham berharga rendah dan saham lain secara menyeluruh, terus bercampur-campur dan trend ini akan berterusan ketika penunjuk teknikal menunjukkan peningkatan yang berterusan.

“Sama seperti saham wajaran tinggi, kami melihat penyepaduan berterusan kebanyakan saham, yang kini membuat pelarasan selepas kedudukan terlebih beli, yang mewujudkan trend yang tidak menentu,” kataya.

Bagi kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut satu sen kepada RM8.78, Tenaga tidak berubah pada RM13.68, Public Bank turun enam sen kepada RM19.92 manakala CIMB satu sen lebih baik pada RM5.30.

Bagi saham paling untung, Cycle & Carriage Bintang melonjak 44 sen kepada RM2.11, Batu Kawan menambah 10 sen kepada RM15.50 dan UWC meningkat lapan sen kepada RM2.89.

Bagi saham aktif, Iris dan Trive Property masing-masing tidak berubah pada 14 sen dan 1.5 sen manakala Prestariang susut dua sen kepada 46.5 sen.

Indeks FBM Emas susut 10.49 mata kepada 11,390.51, Indeks FBMT 100 merosot 12.22 mata kepada 11,201.40 manakala Indeks FBM Emas Shariah turun 6.61 mata kepada 11,933.14.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 11.28 mata kepada 15,690.63, Indeks Perladangan menyusut 4.87 mata kepada 6,963.82 manakala Indeks Produk & Perkhidmatan Perindustrian naik 0.02 mata kepada 156.40.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)