Bursa Malaysia lemah pada pagi

Bursa Malaysia lemah pada pagi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia hanya dibuka tinggi buat seketika pagi ini sebelum susut, mengambil petunjuk daripada prestasi semalaman Wall Street yang lemah dengan S&P 500 meluncur turun ke zon negatif setelah diniagakan melepasi paras tinggi sepanjang masa selama dua hari berturut-turut.

Pelabur tidak mengendahkan tuntutan pengangguran mingguan AS yang merosot di bawah satu juta untuk pertama kalinya dalam tempoh empat bulan.

Pada pukul 9.06 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) lega 2.95 mata kepada 1,573.47 daripada 1,556.64 ketika ditutup semalam.

Indeks utama dibuka 2.37 mata lebih tinggi pada 1,578.79.

Pergerakan harga keseluruhan pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung dengan 306 berbalas 168 manakala 322 kaunter tidak berubah, 1,200 tidak diniagakan dan 33 lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 913.81 juta saham bernilai RM258.22 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd dalam notanya berkata, minat belian baharu untuk kaunter berwajaran tinggi sarung tangan serta peningkatan berterusan saham-saham kewangan menyaksikan FBM KLCI (+1.3 peratus) menebus kembali kerugian empat hari yang dialami.

Ia menambah keuntungan yang diraih sejajar dengan sentimen positif keseluruhan bursa serantau semalam.

Firma itu berkata, selepas beberapa siri gangguan sejak kebelakangan ini, para pelabur kini mula membeli saham ketika harga murah terutamanya berkaitan sarung tangan.

“Meskipun kita merasakan aktiviti pengambilan untung akan mengambil tempat dengan tinjauan masih tidak berubah terutamanya kebimbangan terhadap ketegangan geopolitik yang masih berlegar dan peningkatan jumlah kes COVID-19 tetapi aktiviti belian dana asing baru-baru ini mungkin boleh memberikan sedikit kestabilan.

“Sementara itu, pelabur masih menantikan pengumuman data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua Malaysia yang dijangka mencatatkan penguncupan pertama sejak suku ketiga 2009,” katanya.

Dalam pada itu, ia berkata pemulihan ketara harga emas mungkin mencetuskan minat belian diperbaharui untuk saham berkaitan emas.

“Saham berkaitan penjagaan kesihatan juga kembali bergerak yang mungkin menyaksikan satu lagi gelombang pemulihan terhadap prospek positif mereka di masa akan datang,” katanya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank dan Tenaga. masing-masing menokok dua sen kepada RM7.82 dan RM11.18, Public Bank turun lapan sen kepada RM17.72, Top Glove meningkat 10 sen kepada RM25.10 sementara Hartalega kekal pada RM16.56.

Saham-saham paling cergas, Priceworth dan Borneo Oil, masing-masing lega setengah sen kepada 4.5 sen dan tujuh sen, XOX jatuh 1.5 sen kepada 24 sen sementara Sapura Energy dan Nexgram kekal pada 13 sen dan 6.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 18.36 mata kepada 11,251.29, Indeks FBM Emas Shariah lebih rendah 23.41 mata kepada 13,070.50 dan Indeks FBMT 100 berkurangan 16.09 mata kepada 11,075.43.

Indeks FBM 70 merosot 68.49 mata kepada 14,333.06 dan Indeks FBM ACE jatuh 112.77 mata kepada 9,986.23.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 2.80 mata kepada 13,391.36, Indeks Perladangan mengukuh 9.82 mata kepada 7,034.11 tetapi Indeks Produk dan Perkhidmatan lega 0.39 mata kepada 139.29.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )