Bursa Malaysia meningkat semula selepas dibuka rendah.

Bursa Malaysia meningkat semula selepas dibuka rendah.

KUALA LUMPUR,. Indeks FBM KLCI dibuka rendah hari ini namun memperoleh semula momentum kenaikan selepas itu, didorong oleh Top Glove yang meningkat semula daripada penurunan sesi lepas dengan menyumbang kira-kira 3.5 mata kepada barometer itu.

Pada 9.10 pagi FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.10 mata kepada 1,590.66 daripada 1,585.56 ketika ditutup pada Rabu.

Ia dibuka dibuka 2.24 mata lebih rendah kepada 1,583.32.

Lingkungan pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 250 berbanding 153 manakala 297 kaunter tidak berubah, 1,265 kaunter tidak diniagakan dan 28 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 1.13 bilion unit bernilai RM327.30 juta daripada angka ketika ditutup semalam.

Malacca Securities berkata ia menjangkakan kitaran sektor akan berlaku memandangkan pelabur beralih kepada sektor selain daripada saham penjagaan kesihatan.

“Walaupun kami berpendapat saham perladangan akan tetap menyakinkan, namun saham tenaga mungkin kembali kukuh secara beransur-ansur didorong harga minyak mentah yang lebih tinggi.

“Ini setelah Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya akan merendahkan lagi pengurangan pengeluaran kepada 7.7 juta tong sehari daripada 9.7 juta tong sehari sehingga Disember 2020 susulan prospek peningkatan permintaan, ditambah dengan kekurangan inventori Amerika Syarikat (AS) yang mengejutkan,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Pada Rabu, Pentadbiran Maklumat Tenaga melaporkan inventori minyak mentah AS susut sebanyak 7.5 juta tong bagi minggu berakhir pada 10 Julai, jauh melebihi jangkaan penganalisis dalam tinjauan oleh S&P Global Platts pada penurunan purata 2.1 juta tong.

Sehari sebelumnya, Institut Petroleum Amerika mengatakan bekalan minyak mentah AS turun 8.3 juta tong bagi minggu berakhir pada 10 Julai.

Bagaimanapun pagi ini, harga minyak mentah Brent susut kepada US$43.74 setong dan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS turun kepada US$41.11 setong, setelah mencecah paras tertinggi masing-masing dalam tempoh lebih empat bulan ketika penutupan pasaran semalam.

Malacca Securities berkata justeru, pelabur akan memantau data Keluaran Dalam Negara Kasar China bagi suku kedua 2020 hari ini sebagai petunjuk prestasi pemulihan ekonomi selepas sekatan pergerakan ditarik balik.

Di pasaran domestik, saham berwajaran tinggi — Top Glove meningkat 78 sen kepada RM22.58, Nestle naik RM1 kepada RM142.00 manakala Axiata, TNB dan CIMB masing-masing menambah dua sen kepada RM3.43, RM11.38 dan RM3.69.

Maybank turun tiga sen kepada RM7.88 dan Petronas Dagangan kurang 20 sen kepada RM20.80.

Antara saham paling aktif, XOX naik setengah sen kepada 10.5 sen, Netx tidak berubah pada satu sen dan MQTech turun setengah sen kepada 11 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 36.60 mata kepada 11,221.25, Indeks FBMT 100 menokok 36.09 mata kepada 11,073.04 dan Indeks FBM Emas Syariah menambah 65.61 mata kepada 12,873.03.

FBM 70 naik 47.75 mata kepada 13,910.70 dan FBM ACE meningkat 41.88 mata kepada 7,278.14.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 17.88 mata kepada 13,516.33, Indeks Perladangan kurang 0.51 mata kepada 6,961.84 serta Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri naik 0.12 mata kepada 137.89.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )