Bursa Malaysia merosot Aktiviti pengambilan untung

Bursa Malaysia merosot Aktiviti pengambilan untung

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini tetapi merosot kemudiannya berikutan aktiviti pengambilan untung dalam saham wajaran tinggi terpilih, kata peniaga.

Pada 9.21 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 2.70 mata kepada 1,530.35 daripada 1,533.05 semasa ditutup pada Isnin.

Ia dibuka tinggi 0.46 mata kepada 1,533.51.

Suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 288 berbanding 211, manakala 334 kaunter tidak berubah, 1,470 tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 476.70 juta unit bernilai RM236.72 juta.

Dalam nota penyelidikan hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd berkata ia menjangka sektor yang mencatatkan pemulihan terus mendapat perhatian pada masa depan, dengan pelabur memberi tumpuan kepada kaunter penerbangan, pelancongan dan pengguna.

“Sementara itu, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) akan memberi prospek yang baik kepada syarikat infrastruktur telekomunikasi, sektor pembinaan dan teknologi.

“Minat dagangan juga akan dapat dilihat di kaunter minyak dan gas berikutan harga minyak mentah yang tinggi,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM8.10, Public Bank merosot 4.0 sen kepada RM4.04, Petronas Chemicals naik 11 sen kepada RM8.13, IHH Healthcare meningkat 1.0 sen kepada RM6.69 dan TNB menambah 3.0 sen kepada RM9.88.

Daripada saham aktif, Scope Industries dan Avillion, masing-masing susut setengah sen kepada 37.5 sen dan 13.5 sen, AT Systematization tidak berubah pada 6.0 sen dan NWP Holdings menambah 1.0 sen kepada 26 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 15.23 mata kepada 11,259.96, Indeks FBMT 100 berkurangan 14.65 mata kepada 10,954.79, Indeks FBM Emas Shariah naik 9.44 mata kepada 12,296.08, FBM 70 susut 1.78 mata kepada 14,961.12 dan FBM ACE berkurangan 8.90 mata kepada 7,236.76.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 1.06 mata kepada 202.32 dan Indeks Perladangan naik 7.33 mata kepada 6,330.98 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 80.80 mata kepada 15,150.69.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This