Bursa Malaysia rendah pada awal dagangan

Bursa Malaysia rendah pada awal dagangan

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka rendah pada Rabu ketika sentimen menolak risiko terus ketara berikutan pendirian pelabur yang berhati-hati terhadap perkembangan COVID-19 di negara ini.

Penurunan itu merentasi semua sektor kecuali kewangan, pembinaan dan produk serta perkhidmatan perindustrian yang mencatatkan kenaikan kecil.

Pada 9.09 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.86 mata kepada 1,547.45 daripada 1,548.31 sewaktu dagangan ditutup pada Selasa.

Indeks petunjuk utama itu dibuka dengan susut 1.01 mata kepada 1,547.30.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 184 berbanding 167 manakala 244 kaunter tidak berubah, 1,621 tidak didagangkan dan 61 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 307.35 juta unit bernilai RM112.54 juta.

Sementara itu, Malacca Securities dalam nota penyelidikannya berkata bursa tempatan itu dijangka sukar mengekalkan momentum peningkatan semalam apabila angka kes jangkitan harian COVID-19 masih dalam lingkungan 5,000 hingga 7,000 kes.

Malah, kes jangkitan itu melepasi paras 6,000 pada semalam.

“Pada masa ini, kami percaya kenaikan kaunter-kaunter teknologi di peringkat tempatan masih tidak berubah susulan peningkatan pasaran Nasdaq.

“Selain itu, sektor pengangkutan dan logistik juga dijangka mencatat prestasi sama susulan aktiviti jualan baru-baru ini.

“Oleh kerana varian Delta COVID19 itu terus menjadi kebimbangan utama, aktiviti urus niaga yang lebih ketara dijangka membabitkan saham sarung tangan,” katanya.

Bagi komoditi pula, pergerakan minyak sawit mentah dan minyak terus dalam jajaran tinggi.

Dalam pada itu, saham wajaran tinggi menyaksikan IHH, Digi dan Sime Darby Plantation masing-masing susut tiga sen kepada RM5.60, RM4.25 dan RM4.08.

Hong Leong Bank rugi lapan sen kepada RM18.76 manakala Petronas Dagangan susut 14 sen kepada RM18.84.

HLFG sebaliknya naik 42 sen kepada RM18.22 manakala Public Bank, Maybank dan TNB masing-masing menokok dua sen kepada RM4.17, RM8.15 dan RM9.86.

Bagi saham aktif, OCR Group meningkat tiga sen kepada 23.5 sen, Serba Dinamik merosot setengah sen kepada 31.5 sen dan Tanco tidak berubah pada 15 sen.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas susut 2.77 mata kepada 11,246.89, Indeks FBMT 100 meningkat 2.72 mata kepada 10,966.52 dan Indeks FBM Emas Syariah menambah 8.95 mata kepada 12,298.98.

FBM ACE susut 4.34 mata kepada 7,073.10 manakala FBM 70 naik 9.48 mata kepada 14,546.94.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 19.55 mata kepada 15,171.01, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.02 mata kepada 187.35 manakala Indeks Perladangan turun 12.97 mata kepada 6,456.88.

– Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)