Bursa Malaysia rendah pada tengah hari

Bursa Malaysia rendah pada tengah hari

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia mengakhiri sesi pagi dengan ditutup rendah pada tengah hari ini berikutan tekanan jualan dalam saham wajaran tinggi diterajui kaunter berkaitan Petronas.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.55 mata kepada 1,570.61 daripada paras penutup 1,571.16 pada Jumaat.

Indeks itu dibuka 2.73 mata lebih rendah kepada 1,1568.43 pada pagi ini.

Suasana pasaran negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 388 berbanding 302, manakala 381 kaunter tidak berubah, 915 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 1.20 bilion saham bernilai RM760.10 juta.

Seorang penganalisis berkata kaunter berkaitan Petronas menjadi tumpuan sejak minggu lepas selepas syarikat minyak dan gas nasional itu menyelesaikan dagangan blok saham MISC, Petronas Dagangan dan Petronas Gas.

“Kita boleh melihat kaunter-kaunter ini mencatatkan kenaikan minggu lepas apabila pengurus dana menjalankan aktiviti membeli saham berharga rendah bagi saham itu. Apa yang kita lihat hari ini adalah hanya pengambilan untung sederhana.

“Kaunter berkaitan Petronas adalah antara saham mewah paling mendapat permintaan dalam pasaran dan ia akan melantun semula, disokong oleh harga minyak tinggi dan prospek masa depan yang baik,” katanya.

Semasa sesi pagi, saham Petronas Dagangan turun 48 sen kepada RM23.06 , Petronas Gas susut 26 sen kepada RM16.68, manakala Dialog jatuh tiga sen kepada RM3.41, IHH berkurangan empat sen kepada RM5.36 dan Kuala Lumpur Kepong susut lapan sen kepada RM24.62.

Dalam kalangan kaunter cergas, Ecovest naik dua sen kepada 92.5 sen, Iskandar Waterfront meningkat lima sen kepada RM1.07 manakala WCE menokok 1.5 sen kepada 34.5 sen.

Dalam kalangan kaunter untung utama, Genting Plantation naik 24 sen kepada RM10.64, Ajinamoto dan MISC meningkat 18 sen masing-masing kepada RM14.98 dan RM8.51; manakala bagi kaunter rugi utama, United Plantation turun 52 sen kepada RM25.65, LPI Capital susut 16 sen kepada RM14.60 dan Manulife berkurangan 14 sen kepada RM2.35.

Indeks FBM Emas turun 2.92 mata kepada 11,184.66, Indeks FBM Emas Shariah susut 11.10 mata kepada 11,823.87 manakala Indeks FBMT 100 jatuh 4.06 mata kepada 10,981.73.

Sementara itu, FBM Ace turun 14.53 mata kepada 4,978.40 dan FBM 70 susut 5.85 mata kepada 14,013.15.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 16.97 mata kepada 15,270.01, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.32 mata kepada 152.46 dan Indeks Perladangan susut 0.87 mata kepada 7,495.54.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )