Bursa Malaysia sambung dagangan, kembali positif

Bursa Malaysia sambung dagangan, kembali positif

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka rendah seketika pada awal sesi dagangan pagi ini sebelum berubah menjadi positif dengan pelabur mengambil peluang membeli saham-saham seperti MISC, PetChem, Hartalega dan Top Glove yang jatuh dengan ketara pada sesi sebelumnya.

Pada pukul 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dibuka 6.67 mata lebih tinggi kepada 1,579.90 daripada 1,573.48 ketika ditutup semalam.

Dagangan di Bursa Malaysia Securities yang digantung pada 3.30 petang semalam, beroperasi seperti biasa hari ini dengan harga dagangan akhir digunakan sebagai petunjuk pasaran, kecuali Can-One.

Harga rujukannya ialah RM2.68 selepas penyesuaian untuk dividen dan penutupan hari sebelumnya iaitu RM2.74, menurut Bursa Malaysia.

Indeks utama susut 10.30 mata kepada 1,563.01.

Pergerakan harga keseluruhan pasaran kembali positif dengan kaunter untung mengatasi rugi 198 berbalas 183, manakala 260 kaunter tidak berubah, 1,323 tidak diniagakan dan 27 lain digantung.

Jumlah dagangan ialah sebanyak 659.06 juta unit bernilai RM391.06 juta.

Tumpuan utama masih lagi kepada saham sarung tangan dengan kaunter berwajaran tinggi Top Glove mengukuh RM1.34 kepada RM21.04 selepas mencecah paras terendah semalam pada RM19.71, sementara Hartalega menokok 58 sen kepada RM15.74.

Supermax pula meningkat 50 sen kepada RM15.40 dan Kossan lebih tinggi 36 sen kepada RM12.62

Dalam notanya, Malacca Securities berkata dalam bergerak ke hadapan, pelabur mungkin mengumpul keuntungan daripada sektor-sektor lain yang ketinggalan seperti pembinaan dan hartanah.

“Selain daripada itu, industri farmaseutikal juga menjadi fokus berikutan perkembangan positif mengenai vaksin,” katanya.

Sebaliknya, sektor sarung tangan mungkin menyaksikan aktiviti pengambilan untung.

“Meskipun dengan peningkatan kes COVID-19, perkembangan vaksin terus muncul dalam laporan media, sekali gus boleh menjejaskan sokongan belian untuk saham sarung tangan secara keseluruhannya dalam tempoh terdekat,” katanya.

Malacca Securities berkata, urus niaga di Wall Street berakhir dalam zon negatif semalam, mengakhiri keuntungan selama empat hari berturut-turut, diheret turun oleh syarikat-syarikat teknologi.

Selain daripada itu, Indeks Shanghai Composite jatuh 4.5 peratus walaupun ekonomi China kembali pulih mengatasi jangkaan, mengembang 3.2 peratus dalam suku kedua 2020.

Saham-saham berwajaran tinggi yang lain, MISC naik 20 sen kepada RM8.07 dan PetChem menambah lima sen kepada RM6.26.

Hap Seng kekal pada RM8.83 dan Sime Darby Plantation mengukuh lima sen kepada RM15.74.

Maybank dan CIMB, masing-masing naik satu sen dan tiga sen kepada RM7.81 dan RM3.64.

Dalam kalangan saham paling cergas, Lambo dan Pegasus tidak berubah pada tiga dan 2.5 sen sementara XOX menokok satu sen kepada 11.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 36.03 mata kepada 1,118.95, Indeks FBMT 100 mengembang 46.37 mata kepada 10,987.21 dan Indeks FBM Emas Shariah melambung 57.64 mata kepada 12,738.19.

Indeks FBM 70 pula 57.97 mata lebih tinggi kepada 13,757.08 dan FBM ACE untung 14.25 mata kepada 7,181.50.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan meraih 5.41 mata kepada 13,539.62, Indeks Perladangan naik 27.27 mata kepada 6,989.62 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.5 mata kepada 138.27.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)