Bursa Malaysia teruskan peningkatan pada pagi

Bursa Malaysia teruskan peningkatan pada pagi

KUALA LUMPUR,. Saham-saham di Bursa Malaysia meneruskan momentum peningkatan semalam untuk dibuka tinggi pada sesi dagangan awal pagi ini, didorong oleh permintaan kukuh daripada para pelabur tempatan dan antarabangsa.

Pada pukul 9.03 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengukuh 6.12 mata kepada 1,618.23 berbanding 1,612.11 ketika ditutup semalam.

Indeks utama dibuka 3.09 mata lebih tinggi pada 1,615.20.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi rugi dengan 306 berbalas 140 manakala 312 kaunter tidak berubah, 1,413 tidak diniagakan dan 88 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 672.90 juta saham bernilai RM174.70 juta.

Malacca Securities dalam nota ekuitinya hari ini berkata perkembangan positif selepas Belanjawan 2021 diluluskan telah menyerapkan keyakinan yang lebih tinggi terhadap pasaran Malaysia dengan FBM KLCI melonjak melepasi paras psikologi 1,600 semalam.

“Dengan segala ketidakpastian sebelum ini telah terhakis, fokus kini tertumpu kepada perkembangan pemulihan ekonomi. Dengan itu, kami mengunjurkan momentum positif akan kembali dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

Di Bursa Malaysia, Top Glove meneruskan momentum kenaikannya, meningkat lima sen kepada RM7.10, IHH menambah tiga sen kepada RM5.63, Hartalega naik empat sen kepada RM14.70 dan Public Bank mengukuh 10 sen kepada RM18.82.

Dalam kalangan saham paling cergas, Fintec Global dan warannya masing-masing menambah 2.5 sen dan setengah sen kepada 12 sen dan 1.5 sen, AT Systematization meningkat satu sen kepada 21 sen, dan Bina Puri naik 1.5 sen kepada 10.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 42.93 mata pada 11,601.57, Indeks FBMT 100 menambah 41.52 mata kepada 11,392.06, Indeks FBM Emas Shariah melonjak 54.02 mata kepada 13,362.65, dan FBM 70 naik 48.07 mata kepada 14,817.13.

FBM ACE naik 59.02 mata kepada 10,660.32, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.85 mata menjadi 162.26, Indeks Perladangan menambah 7.0 mata kepada 7,357.37, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan mengukuh 56.75 mata kepada 14,261.89.

– BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)