Bursa Malaysia tinggi pada awal dagangan

Bursa Malaysia tinggi pada awal dagangan

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia meningkat semula pada awal dagangan Rabu berbanding penurunan semalam, dipacu oleh pembelian kaunter-kaunter produk dan perkhidmatan perindustrian terpilih, kata seorang peniaga.

Pada 9.16 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 1.65 mata kepada 1,583.10 berbanding 1,581.37 pada akhir dagangan Selasa.

Indeks penanda aras itu naik 1.55 mata kepada 1,582.92 sewaktu dagangan dibuka pada pagi ini.

Sentimen pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 224 berbanding 214 manakala 332 kaunter lain tidak berubah, 1,383 tidak diniagakan dan 11 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 569.06 juta unit bernilai RM247.82 juta.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata kalangan pelabur berkemungkinan besar memberi tumpuan terhadap kaunter berkaitan pembungkusan dan plastik susulan peningkatan Produk Maju Disteril (ASP) dalam sektor berkenaan berikutan kenaikan harga resin.

Dalam nota penyelidikannya, firma pembrokeran itu berkata sektor tenaga juga dijangkakan mendapat sambutan berikutan kenaikan ketara harga minyak manakala saham-saham teknologi turut diunjur meningkat semula dalam dagangan hari ini.

“FBM KLCI menyaksikan keadaan turun naik dan ditutup rendah sedikit pada Selasa selepas aktiviti membeli saham berharga rendah pada sesi sebelum ini ketika sentimen kekal berhati-hati menjelang pengumuman Pelan Pemulihan Negara.

“Kami menjangkakan faktor seperti Malaysia membuka semula ekonomi secara berperingkat menjelang September sepertimana diumumkan selain peningkatan ketara kadar suntikan vaksin di negara ini akan dapat melonjakkan sentimen pasaran di peringkat tempatan,” katanya.

Menurutnya, sektor komoditi menyaksikan harga minyak sawit mentah (MSM) meningkat semula selepas mencatat penurunan manakala harga minyak mentah Brent kekal kukuh melebihi AS$73 setong.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank dan Public Bank masing-masing naik 1.0 sen kepada RM8.21 dan RM4.22, TNB menokok 6.0 sen kepada RM10, Petronas Chemicals tidak berubah pada RM8.10 manakala IHH Healthcare susut 1.0 sen kepada RM5.56.

Bagi saham aktif, KNM naik setengah sen kepada 21 sen, DNex dan Zelan masing-masing meningkat 1.5 sen kepada 90.5 sen dan 15 sen manakala Berjaya Corp dan Serba Dinamik susut setengah sen kepada 33 sen dan 67.5 sen.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas menokok 6.73 mata kepada 11,574.58, Indeks FBMT 100 naik 8.04 mata kepada 11,255.19 manakala FBM ACE sebaliknya susut 18.04 mata kepada 7,686.88.

Indeks FBM Emas pula menambah 10.03 mata kepada 12,721.78 namun FBM 70 merosot 3.43 mata kepada 15,072.73.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 2.23 mata kepada 15,314.46 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.33 mata kepada 194.26 dan Indeks Perladangan merosot 18.75 mata kepada 6,583.62.

– Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)