Bursa melonjak kembali selepas dibuka rendah pada awalnya

Bursa melonjak kembali selepas dibuka rendah pada awalnya

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini sebelum kembali pulih, dirangsang oleh minat belian bagi saham wajaran tinggi terpilih menjelang pengumuman beberapa siri data ekonomi pada minggu ini, kata seorang peniaga.

Pada jam 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.22 mata menjadi 1,531.15 daripada 1,525.93 pada penutupan Selasa.

Namun begitu, indeks utama itu memulakan urus niaga pagi ini 0.03 mata lebih rendah pada 1,525.90.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi rugi dengan 130 berbalas 121 manakala 213 kaunter tidak berubah, 1,810 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 140.64 juta unit bernilai RM61.89 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, dagangan di bursa tempatan dijangka bergerak dalam jajaran kecil hari ini terutamanya menjelang pengumuman antaranya kadar pengangguran Malaysia, keputusan kadar faedah Bank Pusat Eropah serta data inflasi dari China dan Amerika Syarikat (AS).

“Bagaimanapun, lonjakan semalaman di Wall Street mungkin memberikan sedikit hala tuju kepada bursa tempatan, terutama dalam sektor teknologi.

“Bagi komoditi, minyak mentah Brent didagangkan melebihi paras AS$120, manakala harga minyak sawit mentah (MSM) berlegar melepasi RM6,500,” katanya.

Untuk fokus sektor pula, firma pembrokeran itu berkata, kenaikan harga minyak mentah dan MSM seharusnya memberi petanda baik kepada pendapatan sektor masing-masing, yang lambat laun akan meningkatkan harga saham manakala peniaga dijangka memberi tumpuan pada saham teknologi ekoran lantunan semula di Wall Street.

Sementara itu, Malacca Securities berkata sektor-sektor pengguna, REIT dan pengangkutan serta logistik akan mendapat manfaat daripada peralihan negara ke dalam fasa endemik.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah empat sen kepada RM8.88, Public Bank naik dua sen kepada RM4.54, Petronas Chemicals menokok sembilan sen kepada RM9.95, IHH Healthcare lebih tinggi sebanyak satu sen kepada RM6.51 manakala CIMB susut satu sen kepada RM5.05.

Bagi saham aktif, LGMS meningkat 7.5 sen kepada 57.5 sen, Dynaciate menambah 1.5 sen menjadi 18.5 sen, Sapura Energy susut setengah sen kepada 4.5 sen, manakala Impiana Hotels dan Serba Dinamik tidak berubah, masing-masing pada tiga sen dan 11.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas lebih tinggi sebanyak 29.33 mata menjadi 10,970.91, Indeks FBMT 100 menokok 30.67 mata kepada 10,660.23, Indeks FBM Emas Syariah mengembang 38.07 mata kepada 11,314.86, FBM 70 meraih 15.09 mata menjadi 13,287.37 sementara FBM ACE susut 0.05 mata kepada 5,249.83.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 30.24 mata kepada 16,577.02, Indeks Perladangan peroleh 48.65 mata kepada 7,835.57 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian pula 0.53 mata lebih tinggi pada 197.66.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)