Bursa memulakan minggu ini dengan positif

Bursa memulakan minggu ini dengan positif

KUALA LUMPUR,. Indeks barometer Bursa Malaysia memulakan minggu ini dengan sentimen positif tetapi kemudiannya merosot berikutan kekurangan sokongan, menjejaki prestasi Wall Street yang lemah susulan jangkaan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) yang mungkin menangguhkan penurunan kadar faedah.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.43 mata kepada 1,617.43 daripada 1,617.86 pada Jumaat lepas.

Indeks barometer dibuka tinggi 1.38 mata kepada 1,619.24.

Bagaimanapun, dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 259 berbanding 201, dengan 368 kaunter tidak berubah, 1,570 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 297.44 juta unit bernilai RM116.27 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup rendah pada Jumaat lepas berikutan sentimen terjejas oleh data pekerjaan AS yang lebih baik daripada jangkaan pada Mei, meningkatkan ketidakpastian mengenai pendirian Fed terhadap kadar faedah.

Selain itu, penurunan harga minyak menyumbang kepada aliran penurunan.

Bagaimanapun, katanya pasaran tempatan dijangka bergerak dalam julat 1,615-1,625 berikutan langkah oleh Bank Pusat Eropah baru-baru ini untuk menurunkan kadar faedah menjadi petunjuk positif bahawa bank-bank pusat global tidak terlalu bergantung kepada keputusan Fed AS.

“Selepas keputusan kewangan diumumkan untuk tempoh suku kedua, kami mendapati banyak firma penyelidikan menaikkan sasaran indeks masing-masing untuk tahun 2024, menunjukkan pasaran masih mempunyai potensi untuk meningkat,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Petronas Gas naik 22 sen kepada RM18.50, Tenaga Nasional meningkat dua sen kepada RM13.78 manakala Maybank, Public Bank dan IHH, masing-masing tidak berubah pada RM10, RM4.11 dan RM6.24.

Bagi saham aktif, Alam Maritim, Widad dan Leform, masing-masing meningkat setengah sen kepada tiga sen, 8.5 sen dan 17 sen manakala YNH Property naik 5.5 sen kepada 69.5 sen dan Siab menambah dua sen kepada 15.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 1.46 mata kepada 12,358.32, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 8.73 mata kepada 12,662.26, Indeks FBM 70 menambah 2.79 mata kepada 17,797.67 dan Indeks FBM ACE menokok 8.99 mata kepada 5,586.31 manakala Indeks FBMT 100 merosot 1.83 mata kepada 11,938.63.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 0.70 mata kepada 17,642.97, Indeks Perladangan menambah 0.89 mata kepada 7,146.22 dan Indeks Tenaga meningkat 4.61 mata kepada 973.84 manakala Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.26 mata kepada 197.39.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)