Bursa rendah pada awal dagangan

Bursa rendah pada awal dagangan

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka rendah untuk seketika tetapi kemudiannya bergerak bercampur-campur pada pagi urus niaga Khamis apabila aktiviti memburu saham berharga murah muncul, walaupun terdapat petunjuk negatif daripada pasaran ekuiti global, kata seorang peniaga.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.55 mata kepada 1,412.87 daripada penutup semalam pada 1,411.32.

Indeks barometer itu dibuka 2.49 mata lebih rendah kepada 1,408.83.

Bagaimanapun, pergerakan harga di pasaran secara menyeluruh menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 131 berbanding 112, manakala 203 kaunter tidak berubah, 1,830 tidak diniagakan dan lapan yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 95.71 juta unit bernilai RM39.55 juta.

Menurut Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, Wall Street merosot apabila inflasi Amerika Syarikat (AS) mencecah paras tertinggi 40 tahun pada 9.1 peratus, memburukkan lagi kebimbangan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) AS akan menjadi agresif dengan kenaikan kadarnya.

Di pasaran tempatan, beliau berkata sentimen dalam pasaran kekal berhati-hati, tetapi aktiviti memburu saham berharga murah dijangka berlaku apabila indeks penanda aras semakin menghampiri tahap sokongannya pada 1,400.

“Kami menjangkakan indeks berlegar dalam julat 1,405-1,425 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan CIMB kekal tidak berubah, masing-masing mencatatkan RM8.61 dan RM5.09, Public Bank susut satu sen kepada RM4.36, Petronas Chemicals menambah tiga sen menjadi RM7.91 sementara IHH Healthcare naik empat sen kepada RM6.46.

Bagi saham aktif, Metronic meningkat 1.5 sen kepada 8.5 sen, MAG dan Borneo Oil kekal tidak berubah, masing-masing pada 18 sen dan 2.5 sen, dan XOX Networks naik satu sen kepada tiga sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 10.80 mata menjadi 10,034.40, Indeks FBM Emas Syariah menambah 17.81 mata kepada 10,057.73, FBM 70 lebih tinggi sebanyak 18.46 mata kepada 12,055.86, Indeks FBMT 100 mengukuh 11.76 mata kepada 9,797.73 dan FBM ACE meningkat 31.16 mata menjadi 4,570.14.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 11.93 mata kepada 16,008.27, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.63 mata kepada 167.34 manakala Indeks Perladangan lemah 17.43 mata kepada 6,669.27.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )