Bursa rendah pada pagi ini

Bursa rendah pada pagi ini

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka rendah sedikit pagi ini sementara tekanan jualan dilihat semakin mereda, kata penganalisis. Pada jam 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.55 mata menjadi 1,586.61 daripada 1,587.16 pada penutupan Isnin. Indeks utama itu dibuka lemah 1.63 mata pada 1,585.53.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung 158 berbalas 121, manakala 205 kaunter tidak berubah, 1,829 tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 152.12 juta bernilai RM185.15 juta.

Menurut Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, niaga hadapan KLCI meningkat dengan lebih cepat daripada yang dijangkakan, justeru pasaran diunjurkan untuk stabil pada satu tahap.

“Kita mungkin melihat saham murah bergerak naik tetapi sentimen kekal bercampur-campur, bukan sahaja di Malaysia malah di serantau,” katanya kepada Bernama.

RHB Retail Research berkata, indeks gagal merekodkan tahap lebih tinggi yang baharu, dengan kenaikan harga dihadkan pada paras rintangan 1,593.50 mata.

“Sehubungan itu, indeks dijangka mengalami kestabilan sebelum mengorak langkah yang lebih besar,” katanya dalam satu nota.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik satu sen kepada RM8.86, PChem menambah 12 sen kepada RM9.52, manakala PBBank, IHH dan Tenaga semuanya tidak berubah, masing-masing pada RM4.63, RM6.52 dan RM9.25.

Bagi saham aktif, syarikat yang pertama kali disenaraikan di papan utama, FFB menokok 40 sen kepada RM1.75, Nylex naik enam sen kepada 52 sen, Hibiscus meningkat tiga sen kepada RM1.21, manakala SapNRG dan Fitters meokok setengah sen setiap satu kepada empat sen dan 19 sen.

Di papan indeks, FBM 70 kerugian 27.93 mata kepada 13,421.45 dan FBM ACE berkurangan 21.34 mata kepada 5,392.24.

Bagaimanapun, Indeks FBM Emas lega 6.81 mata kepada 11,280.98, Indeks FBM Emas Syariah merosot 13.76 mata kepada 11,871.25 dan Indeks FBMT 100 turun 8.22 mata kepada 10,980.81.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian jatuh 0.44 mata kepada 202.72, Indeks Perladangan menokok 45.51 mata kepada 7,914.37, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 3.34 mata kepada 16,684.93.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )