Bursa rendah pada pagi

Bursa rendah pada pagi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini, menyaksikan indeks utama jatuh sebanyak 0.26 peratus berikutan kegiatan pengambilan untung selepas mencatatkan prestasi kukuh pada Jumaat minggu lalu.

Pada jam 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 4.29 mata kepada 1,597.68 daripada penutupan Jumaat pada 1,601.97.

Indeks utama itu dibuka rendah 2.59 mata kepada 1,599.38.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi untung dengan 478 berbalas 94 manakala 162 kaunter tidak berubah, 1,569 tidak diniagakan dan 25 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 216.26 juta bernilai RM123.98 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, pihaknya menjangkakan kejatuhan semalaman di Wall Street akan menjejaskan sentimen tempatan, terutamanya dalam sektor teknologi apabila Nasdaq merosot di bawah paras utama 13,000.

Ia berkata Wall Street sekali lagi memperlihatkan prestasi lemah apabila Indeks Dow Jones (yang jatuh 2.8 peratus) merosot selepas keputusan pendapatan korporat yang mengecewakan, ditambah pula dengan prospek kenaikan kadar faedah yang lebih agresif.

“Sementara itu, kami menjangkakan larangan Indonesia terhadap eksport minyak sawit untuk mengurangkan kekurangan minyak masak domestik boleh meningkatkan sentimen untuk niaga hadapan minyak sawit mentah (FCPO); dengan FCPO didagangkan melebihi RM6,300 pada Jumaat.

“Bagi minyak mentah Brent pula, ia berlegar di atas paras psikologi AS$105 setong,” kata firma itu dalam satu nota.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut tiga sen kepada RM8.91, Public Bank turun dua sen kepada RM4.70, Petronas Chemicals lebih rendah sebanyak enam sen kepada RM10.24, Press Metal merosot 11 sen kepada RM6.32, manakala IHH Healthcare meningkat empat sen kepada RM6.65.

Antara saham aktif, SMTrack susut setengah sen kepada lapan sen, Dagang Nexchange turun tiga sen kepada RM1.02, MLabs Systems dan Vortex tidak berubah, masing-masing pada tiga sen dan 18.5 sen, sementara Jaya Tiasa meningkat lapan sen kepada RM1.20 .

Di papan indeks, Indeks FBMT 100 menguncup 42.62 mata kepada 11,085.37, Indeks FBM Emas lebih rendah 46.02 mata menjadi 11,438.03, Indeks FBM Emas Syariah susut 43.05 mat kepada 12,046.15, FBM 70 jatuh 105.16 mata kepada 13,663.43 dan FBM ACE merosot 52.35 mata menjadi 5,673.01.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 2.24 mata kepada 212.51 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 68.51 mata kepada 16,779.69, manakala Indeks Perladangan meraih 214.89 mata kepada 8,812.76.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)