Bursa saham dibuka rendah pada pagi

Bursa saham dibuka rendah pada pagi

KUALA LUMPUR,. Dagangan di Bursa Malaysia dibuka rendah sebelum bergerak tinggi pagi ini, dipacu oleh saham wajaran tinggi terpilih yang diketuai oleh IHH Healthcare dan Press Metal.

Pada 9.06 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.16 mata kepada 1,521.18 daripada 1,520.02 pada penutup Jumaat selepas dibuka 0.3 mata lebih rendah pada 1,519.72.

Pergerakan harga di pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi rugi 192 berbalas 135 sementara 161 kaunter tidak berubah, 1,760 tidak diniagakan dan 52 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 109.91 juta unit bernilai RM54.79 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata pasaran serantau kekal tidak menentu terutama menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.

“Bagi bursa tempatan, dagangan hanya dilakukan pada sesi pagi hari ini dan justeru itu kami percaya penyertaan dalam kalangan pelabur adalah agak lemah.

“Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI berlegar dalam julat antara 1,515 hingga 1,525 hari ini. Sementara itu, minyak sawit mentah diramal mengakhiri bulan Januari pada rekod tertinggi apabila ditutup pada RM5,610 satu tan minggu lalu,” katanya.

Di peringkat serantau, Indeks Straits Times Singapura naik 0.46 peratus kepada 3,261.34, Nikkei 225 Jepun meningkat 0.39 peratus kepada 26,822.41, manakala Indeks Hang Seng Hong Kong ditutup sempena cuti umum sambutan Tahun Baharu Cina.

Saham wajaran tinggi Bursa Malaysia, IHH Healthcare meningkat lima sen kepada RM6.45, Press Metal menokok empat sen kepada RM6.13, Axiata Group menambah tiga sen kepada RM3.77 dan Hong Leong Financial Group mengukuh 22 sen kepada RM18.68.

Bagi saham aktif pula, Daya Materials peroleh setengah sen kepada satu sen, Hibiscus Petroleum menambah 4.5 sen kepada 99.5 sen, Pertama Digital lebih tinggi sebanyak dua sen kepada 68.5 sen dan AirasiaX turun setengah sen kepada 4.5 sen.

Di papan indeks, FBM ACE susut 19.17 mata kepada 6,039.86, FBM 70 meningkat 24.15 mata kepada 13,385.36, Indeks FBM Emas mengukuh 5.97 mata kepada 10,907.01, Indeks FBMT 100 menambah 10.58 mata kepada 10,617.74 manakala FBM Emas Syariah mengembang 11.92 mata kepada 11,592.51.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 0.06 mata kepada 15,779.58, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian 0.31 mata lebih tinggi pada 200.72 sementara Indeks Perladangan lemah 21.810 mata kepada 6,628.30.

Bursa Malaysia akan didagangkan hanya setengah hari, hari ini dan ditutup pada 1 dan 2 Feb sempena cuti umum Tahun Baharu Cina.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)