Bursa tinggi pada pagi ini

Bursa tinggi pada pagi ini

KUALA LUMPUR,. Dagangan di Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini, disokong oleh kegiatan memburu saham berharga murah meskipun Wall Street mempamerkan prestasi lemah semalaman.

Pada jam 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengukuh 6.55 mata kepada 1,592.53 daripada penutupan urus niaga Rabu pada 1,585.98.

Indeks utama itu dibuka 7.64 mata lebih tinggi pada 1,593.62.

Pasaran secara keseluruhan menyaksikan kaunter untung mengatasi rugi dengan 203 berbalas 94 manakala 202 kaunter tidak berubah, 1,791 tidak diniagakan dan 82 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 196.37 juta bernilai RM88.88 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, Wall Street memperlihatkan pemulihan sederhana selepas susut daripada paras tertinggi hariannya apabila Indeks Dow Jones naik 0.2 peratus berikutan prestasi pendapatan korporat yang bercampur-campur.

“Walaupun ketidaktentuan global mungkin masih meningkat, sektor bertemakan pemulihan di bursa tempatan dijangka mendapat daya tarikan kerana kelonggaran lanjut prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 berkuat kuasa 1 Mei 2022, boleh memberi isyarat kepada tahap pemulihan ekonomi yang lebih besar,” katanya dalam satu nota penyelidikan di sini hari ini.

Mengenai pasaran komoditi pula, firma itu berkata niaga hadapan minyak sawit mentah melonjak melebihi RM6,900 satu tan susulan keputusan Indonesia meluaskan skop larangan eksportnya untuk memasukkan minyak sawit mentah, manakala harga minyak mentah kekal disokong melepasi paras AS$100 setong.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi Bursa Malaysia, Maybank naik lima sen kepada RM9.03, Petronas Chemicals menambah empat sen kepada RM9.96, IHH Healthcare menokok tujuh sen kepada RM6.64 dan CIMB naik dua sen kepada RM5.17 manakala Public Bank tidak berubah pada RM4.71.

Bagi saham aktif, MN Holdings meningkat 1.5 sen kepada 22.5 sen, Nestcon naik satu sen kepada 50.5 sen, Ajiya menokok tiga sen kepada RM1.17 manakala Anzo susut 1.5 sen menjadi dua sen dan Pertama Digital lemah satu sen kepada 89.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM ACE naik 16.70 mata menjadi 5,587.47, FBM 70 lebih tinggi sebanyak 63.79 mata kepada 13,592.58, Indeks FBM Emas mengembang 48.03 mata kepada 11,385.83, Indeks FBMT 100 mengukuh 46.89 mata kepada 11,044.57 dan Indeks FBM Emas Syariah meraih 50.72 mata kepada 11,932.68.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan mengembang 50.18 mata kepada 16,850.20, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian 0.46 mata lebih tinggi pada 206.63, dan Indeks Perladangan meningkat 115.40 mata kepada 8,833.60.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )