Cabaran sukar bagi atlet boling pada Piala Dunia
KUALA LUMPUR,. Atlet boling lelaki dan wanita negara, Adrian Ang dan Natasha Roslan menjangka cabaran sukar pada Piala Dunia Boling ke-55 yang bermula esok di Pusat Bowling, Jakabaring Sports City, di Palembang, Indonesia.
Atlet kelahiran Pulau Pinang berusia 31 tahun yang akan membuat penampilan bagi kali ketiga pada pertandingan Piala Dunia, menyedari bahawa lorong yang berbeza pastinya memberi cabaran besar kepada setiap pemain untuk kekal konsisten sepanjang permainan.
“Saya berharap untuk mencatat tuah bagi kali ketiga tetapi dalam kejohanan ini, hampir semua pemain yang mempunyai rekod prestasi yang baik mempunyai peluang yang cerah.
“Masalahnya ialah standard yang berbeza dan pemain perlu konsisten,” menurut Ang dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kongres Tenpin Bowling Malaysia (MTBC) hari ini.
Untuk rekod, Ang menduduki tangga ke-17 dalam penampilanya pada 2006 di Venezuela dan di tempat ke-23 pada 2011 apabila kejohanan itu diadakan di Johannesburg, Afrika Selatan.
Dalam pada itu, Natasha melahirkan keyakinan mengenai peluangnya untuk mencatatkan pencapaian yang lebih baik kerana pernah beraksi di venue yang sama pada Sukan Asia 2018.
“Lorong itu sama seperti ketika kami beraksi semasa Sukan Asia tetapi lebih mesra untuk skor yang tinggi sekarang. Saya perlu lebih konsisten dan memperoleh skor tinggi,” kata pemain berusia 23 tahun yang meraih gelaran Masters Belia Dunia 2016.
Pemain utama lain dalam kategori lelaki termasuk juara bertahan, Sam Cooley dari Australia, pemain veteran Indonesia, Ryan Leonard Lalisang, selain pemain Amerika Syarikat John Janawicz.
Kategori wanita akan melihat persaingan sengit antara juara dua kali, Aumi Guerra dari Republik Dominican dan juara 2017, Krizziah Lyn Tabora dari Filipina.
— BERNAMA