Cadangan jadikan program i-Suri mandatori dalam masa tiga tahun – Wan Azizah

Cadangan jadikan program i-Suri mandatori dalam masa tiga tahun – Wan Azizah

PUTRAJAYA,. Cadangan menjadikan Skim Caruman Insentif Suri (i-Suri) diharap dapat dialihkan daripada skim sukarela kepada mandatori dalam masa tiga tahun, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata pengumuman belanjawan 2020 yang menyatakan suami boleh memilih untuk menyumbang dua peratus dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ke akaun isteri memboleh peringkat pertama fasa ketiga i-Suri dilaksanakan. Ia adalah tertakluk kepada Akta EPF dipinda bagi memasukkan peruntukan ini.

“Cadangan pjndaan ini sekarang berada di pejabat Peguam Negara, dan jika dipersetujui akan dibawa ke Parlimen untuk dibentang dan diluluskan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Keselamatan Kanak-Kanak Sahabat B.I.J.A.K: Selamat dan Lindung sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia, di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 8 (1), di sini hari ini.

Wan Azizah berkata caruman yang akan dijalankan sukarela oleh para suami untuk membantu isteri yang telah membantu membina keluarga

“Kita kena berikan satu penjelasan kepada para suami tentang kebaikan caruman ini untuk masa depan bersama dan ia akan berikan lebih lunak buat kita buat satu akta untuk pastikan suami memberi dua peratus caruman kepada isteri,” katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2020 semalam, kerajaan mengumumkan program i-Suri ditambah baik dengan beri peluang suami sumbang dua daripada 11 peratus carumannya ke dalam akaun KWSP isteri.

Selain itu, Wan Azizah turut menyambut baik insentif buat pasangan yang ingin mendapatkan rawatan kesuburan.

Beliau berkata ia adalah satu langkah baik untuk golongan B40 dan M40 yang ingin mendapat anak, yang sebelum ini turut menjadi perhatian Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Wan Azizah berkata insentif tersebut bukan sahaja mengurangkan bebanan kewangan tetapi membawa kebahagiaan kepada pasangan yang inginkan anak, sekaligus memberi satu perasaan yang tidak boleh dibeli.

Belanjawan itu turut mengumumkan KWSP akan memperkenalkan kategori pengeluaran baharu kepada pasangan yang menjalani rawatan kesuburan seperti in-vitro fertilisation (IVF).

Selain itu, turut diumumkan pelepasan cukai pendapatan sehingga RM6,000 yang diberikan ke atas perbelanjaan rawatan perubatan untuk penyakit serius akan diperluaskan untuk merangkumi kos rawatan kesuburan.

Secara keseluruhannya, Wan Azizah berkata Belanjawan 2020 lebih seimbang (balanced) dan menyeluruh kerana kaum wanita dan kanak-kanak turut diberi keutamaan.

Beliau berkata dalam Belanjawan 2019 kerajaan memperuntukkan RM10 juta untuk penubuhan Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) baru di bangunan kerajaan dan sejumlah 66 buah TASKA telah mendapat manfaat berbanding sasaran awal 50 TASKA.

“Bagi tahun 2020, kerajaan telah bertindak prihatin dengan meningkatkan peruntukan kepada RM30 juta untuk menyediakan lebih banyak lagi TASKA di bangunan kerajaan, terutamanya di hospital dan sekolah pada tahun hadapan.

“InnsyaAllah lebih banyak TASKA akan dapat diwujudkan dan lebih banyak keluarga, ibu bapa dan anak-anak yang akan mendapat manfaat daripada peruntukan ini,” katanya.

Selain itu, Wan Azizah berkata bagi meringankan beban kewangan ibu bapa yang menghantar anak untuk pendidikan awal ke TASKA dan Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) berdaftar, pelepasan cukai individu bagi yuran yang dibayar akan dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM2,000.

“Kita berharap lebih ramai ibu bapa atau penjaga akan memilih untuk menghantar anak ke pusat jagaan kanak-kanak yang berdaftar bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan anak-anak lebih terjamin,” katanya

Dalam bidang pendidikan bagi Kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU), Wan Azizah berkata kerajaan memperuntukkan RM 23 juta kepada sekolah kebangsaan untuk meningkatkan kemudahan dan tahap aksesibiliti sekolah untuk menjadikannya lebih mesra OKU.

“Ini selari dengan dasar penolakan sifar yang telah diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan di mana tiada kanak-kanak OKU dinafikan hak pendidikan disebabkan kelainan upaya mereka. Alhamdulillah,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )