Cadangan JTK ambil tindakan majikan ingkar SOP BDR dibawa ke mesyuarat MKN

Cadangan JTK ambil tindakan majikan ingkar SOP BDR dibawa ke mesyuarat MKN

SERI KEMBANGAN,. Cadangan penurunan kuasa kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) untuk mengambil tindakan terhadap majikan yang ingkar peraturan Bekerja Dari Rumah (BDR) akan dibawa ke mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata sebelum ini peraturan tersebut di bawah Akta 342 dan hanya Kementerian Kesihatan (KKM) mempunyai kuasa bertindak terhadap majikan yang ingkar prosedur operasi standard (SOP) tersebut.

“Kita memang terima banyak aduan majikan swasta yang masih memaksa pekerja mereka pergi ke pejabat untuk bekerja, tetapi masalah timbul apabila aduan dibuat kepada kita, kita tidak boleh ambil tindakan.

“Jadi penurunan kuasa oleh KKM kepada JTK telah diluluskan di peringkat jawatankuasa teknikal dan akan dibawa ke jawatankuasa MKN petang ini, jika MKN luluskan, JTK akan terus melakukan penguatkuasaan untuk mengkompaun majikan yang ingkar SOP BDR kepada pekerja mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai Operasi Pematuhan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) serta SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di sini semalam.

Sehubungan itu, beliau berkata majikan atau syarikat yang masih ingkar akan berdepan dengan kompaun sebanyak RM50,000 untuk syarikat dan RM10,000 bagi individu jika ingkar SOP BDR itu.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan jumlah kakitangan awam yang bekerja di rumah sebanyak 80 peratus manakala kakitangan swasta kira-kira 40 peratus bagi mengehadkan pergerakan dalam tempoh PKP 3.0.

Arahan tersebut menjadikan kira-kira 8 juta rakyat di negara ini bagi kedua-dua sektor itu tidak perlu keluar bekerja dalam tempoh PKP 3.0 sekali gus membantu kerajaan mengawal pergerakan orang ramai.

Saravanan sekali lagi menegaskan bahawa penguatkuasaan Akta 446 tidak pernah dibatalkan sebaliknya ia sentiasa dilakukan bagi memastikan tahap pematuhan tinggi oleh majikan terutama di kala jangkitan COVID-19 semakin membimbangkan ketika ini.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berhubung pendekatan terbaik pemberian vaksin kepada pekerja industri kerana kluster di tempat kerja menjadi antara punca penularan COVID-19.

“Ia juga termasuk pekerja warga asing, kita juga bimbang dengan pekerja tanpa izin yang masih ramai dan kita menyeru agar majikan atau pihak yang ada maklumat melaporkan kepada kita dengan segera untuk diambil tindakan,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)