Cadangan mesyuarat dua hala Malaysia-India tidak tercapai ekoran jadual padat – MITI
KUALA LUMPUR,. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) hari ini mendedahkan bahawa cadangan mesyuarat dua hala oleh India yang dirancang diadakan minggu ini, tidak tercapai kerana kedua-dua pihak mempunyai jadual yang padat.
Kementerian Kereta Api dan Perdagangan & Industri India menerusi permintaan rasmi pada 24 Dis lepas telah mencadangkan mesyuarat dua hala antara kedua-dua menteri di luar Forum Ekonomi Dunia Davos yang berlangsung dari 21 hingga 24 Jan,
MITI dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia dan kementerian tersebut saling berhubung bagi kemungkinan mengadakan mesyuarat dua hala untuk membincangkan isu-isu perdagangan dan pelaburan dua hala dan serantau.
“Kedua-dua negara itu tiada halangan untuk mengadakan pertemuan ini. Dalam usaha mengeratkan semangat kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara, Malaysia berusaha untuk memenuhi cadangan daripada kerajaan India itu, namun memandangkan jadual kedua-dua menteri adalah padat, suatu masa yang sesuai masih belum dapat ditetapkan oleh kedua-dua belah pihak sehingga kini,” kata MITI.
Kementerian itu berkata berikutan tiadanya mesyuarat rasmi, menjadi satu perkara biasa bagi pihak-pihak yang berminat untuk bertemu secara tidak rasmi dan bertukar-tukar pandangan di luar daripada acara forum ekonomi tersebut.
Menteri MITI Datuk Darell Leiking menyatakan kesediannya untuk mengadakan perbincangan seumpama itu dengan rakan sejawatannya Piyush Goyal, terutamanya berkaitan dengan penyertaan India dalam Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP)yang diterajui ASEAN.
Pada 2018, India merupakan rakan dagang ke-10 terbesar Malaysia. Jumlah perdagangan dengan India meningkat sebanyak 2.2 peratus kepada RM62.76 bilion daripada RM61.38 bilion pada 2017.
India juga merupakan rakan dagang, destinasi eksport dan sumber import terbesar bagi Malaysia dalam kalangan negara-negara Asia Selatan.
Dari segi pelaburan, India merupakan satu daripada sumber utama pelaburan asing Malaysia. Setakat Disember 2018, 258 pelaburan diluluskan dalam sektor pembuatan bernilai RM9.30 bilion dan dijangka mewujudkan 27,042 peluang pekerjaan.
— BERNAMA