Cadangan pembukaan semula konsesi balak di Ulu Muda dikhuatiri jejaskan tadahan air

Cadangan pembukaan semula konsesi balak di Ulu Muda dikhuatiri jejaskan tadahan air

GEORGE TOWN,. Cadangan pembukaan semula konsesi balak di Ulu Muda, Kedah yang diumumkan Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor dikhuatiri akan menjejaskan kawasan tadahan air terpenting di wilayah utara itu pada masa akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) Datuk Jaseni Maidinsa berkata tiga negeri iaitu Kedah, Perlis dan Pulau Pinang sangat bergantung pada air hujan yang ‘ditadah’ di hutan hujan Ulu Muda.

“Kira-kira 70 peratus air mentah Perlis dan 96 peratus air mentah Kedah datangnya dari Ulu Muda. Di Pulau Pinang, PBAPP mengabstrak lebih 80 peratus air mentah yang diperlukan setiap hari dari Sungai Muda dan kawasan tadahan air untuk Sungai Muda adalah Ulu Muda,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata dengan kekurangan hujan dan ketidaktentuan berikutan perubahan iklim, cadangan itu akan menjejaskan peranan Ulu Muda sebagai kawasan tadahan air terpenting di utara Malaysia.

Pada 27 Mei lepas, Muhammad Sanusi berkata kerajaan negeri Kedah sedang mempertimbang cadangan pembukaan konsesi balak bagi mengelak bayaran tuntutan saman yang dikemukakan syarikat pembalakan yang mencecah RM1.5 bilion.

Katanya, menerusi cadangan itu, kerajaan Kedah akan mempertimbang untuk menggantikan kawasan pembalakan lain di luar kawasan tadahan dengan mengambil kira langkah bersesuaian dengan undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) serta tidak memberi kesan terhadap alam sekitar seperti hakisan dan penggondolan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )