Cadangan serap petugas kontrak KEMAS ke jawatan tetap dijangka selesai dalam tempoh tiga bulan

Cadangan serap petugas kontrak KEMAS ke jawatan tetap dijangka selesai dalam tempoh tiga bulan

MELAKA,. Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) kini dalam proses membawa cadangan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menyerap kira-kira 15,600 petugas kontraknya di seluruh negara kepada jawatan tetap.

Ketua Pengarah KEMAS Datuk Mohd Hanafiah Man berkata usaha itu dijangka diselesaikan dalam tempoh tiga bulan dan akan diangkat ke Kabinet untuk mendapatkan kelulusan.

“Kita melihat sudah tiba masanya perjawatan di KEMAS yang berstatus kontrak ini diserap kerana ada dalam kalangan mereka telah berkhidmat antara 15 dan 40 tahun.

“Cadangan KEMAS untuk memperbetulkan semula skim perjawatan termasuk tangga gaji ini seperti yang telah dipersetujui Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini,” katanya kepada pemberita di Telok Mas di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Program Pemerkasaan Masyarakat MADANI KEMAS Melaka yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Mengulas lanjut Mohd Hanafiah berkata skim perjawatan tetap itu juga bakal melibatkan kira-kira 10,600 guru termasuk pembantu pendidik masyarakat sukarela Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) KEMAS di seluruh negara untuk diserap ke perjawatan tetap.

Beliau berkata pada masa ini program KEMAS juga semakin bertambah seperti ‘Smart Classroom’, Program Tunas Istimewa KEMAS untuk kanak-kanak autisme dan Tabika Pra-Tahfiz.

“Oleh demikian tugas mereka juga semakin bertambah dan kita melihat perjawatan ini seharusnya seiring dengan program yang dilaksanakan KEMAS,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Hanafiah berkata kira-kira 4,000 daripada 8,500 premis Tabika KEMAS perlu diwartakan sebelum kerja-kerja menaik taraf dapat dilaksanakan bagi memberi keselesaan kepada murid.

Beliau berkata ia berikutan ada premis yang menumpang di balai raya antara 15 dan 20 tahun yang perlu dinaik taraf tetapi menghadapi masalah kerana bukan milik jabatan itu.

“Justeru kita perlu mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri dan agensi terlibat untuk mewartakan premis di balai raya bagi menjadi milik penuh KEMAS sebelum naik taraf kelas tabika dapat dilakukan,” katanya.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )