Cagamas muktamadkan harga bon, sukuk bernilai RM705 Juta

Cagamas muktamadkan harga bon, sukuk bernilai RM705 Juta

KUALA LUMPUR,. Cagamas Bhd, perbadanan gadai janji nasional, memuktamadkan harga bon dan sukuk bernilai RM705 juta.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Chung Chee Leong berkata terbitan itu merangkumi Kertas Komersial Islam tiga bulan bernilai RM305 juta, Kertas Komersial Konvensional tiga bulan bernilai RM300 juta dan Nota Jangka Sederhana Konvensional dua tahun dan satu tahun bernilai RM100 juta.

“Hasil daripada terbitan itu akan digunakan untuk membiayai pembelian aset yang layak termasuk pinjaman rumah/pembiayaan rumah daripada sistem kewangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, penurunan Kadar Dasar Semalaman oleh Bank Negara Malaysia baru-baru ini telah menyebabkan beberapa institusi pinjaman perumahan dan pihak yang lain mencari penyelesaian mudah tunai daripada Cagamas dan memperoleh kadar pembiayaan yang kompetitif disebabkan persekitaran kadar faedah rendah yang berterusan.

“Ini mendorong kepada kejayaan memuktamadkan semua perjanjian berkenaan menerusi asas tawaran persendirian,” katanya.

Chung berkata terbitan itu akan terus disokong oleh pelabur, menunjukkan sentimen pasaran modal domestik yang bertambah baik berikutan pelbagai langkah oleh bank pusat untuk menyokong fungsi pasaran kewangan domestik yang cekap dan pemulihan harga minyak mentah global.

“Urus niaga itu menandakan langkah terbitan syarikat yang keenam pada tahun ini dan menjadikan jumlah terbitan setakat ini sebanyak RM3.31 bilion,” kata beliau.

Chung berkata kertas itu, yang akan ditebus pada nilai nominal penuh mereka pada masa matang, adalah obligasi tidak bercagar syarikat, kedudukan setara antara mereka dan dengan semua obligasi tidak bercagar sedia ada yang lain Cagamas.

“Ia akan disenaraikan dan didagangkan di Sistem Perdagangan Sekuriti Tanpa Skrip,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )