
CAMERON HIGHLANDS: Tanah Runtuh Halang Jalan Utama di Kampung Raja
KUANTAN: Satu kejadian tanah runtuh berlaku awal pagi ini di Jalan Besar Kampung Raja, Cameron Highlands, menyebabkan laluan terhalang di kedua-dua arah.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands DSP Azri Ramli mengesahkan tiada kehilangan nyawa atau kerosakan harta benda dalam kejadian yang dilaporkan pada pukul 2 pagi itu.
“Tanah runtuh tersebut telah menghalang laluan di kedua-dua arah, namun kerja-kerja pembersihan sedang giat dijalankan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Cameron Highlands memaklumkan bahawa Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah berada di lokasi kejadian untuk memantau situasi dan memberikan bantuan.
Para pengguna jalan raya dinasihatkan untuk menggunakan laluan alternatif melalui Jalan Sungai Koyan, Lipis, atau Jalan Tapah untuk ke Cameron Highlands.
Susulan gangguan tersebut, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Leftenan Md Hazli Hanifah Mohd Hanafi berkata pihaknya telah membantu membawa 11 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke Sekolah Menengah Kampung Raja.
“Semua 11 pelajar SPM itu telah dihantar ke sekolah menggunakan kenderaan pacuan empat roda pada sekitar pukul 7.30 pagi tadi,” tambahnya.