Capai aspirasi sifar karbon menjelang 2050, tenaga nuklear diperlukan – Agensi Nuklear
KUALA LUMPUR,. Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) tidak menolak kemungkinan bahawa penggunaan tenaga nuklear mungkin diperlukan bagi proses penjanaan tenaga dalam usaha merealisasikan aspirasi karbon sifar bersih menjelang 2050.
Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, Rosli Darmawan berkata, meskipun penggunaan tenaga nuklear tidak disebut secara khusus dalam Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030, namun pihaknya sentiasa bersedia untuk meneroka penjanaan tenaga menggunakan tenaga nuklear.
“Walaupun dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) tidak disebut perkara itu tetapi sudah ada beberapa kenyataan daripada NRECC (Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim) dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli sebelum ini yang pernah menyebut ia dalam pertimbangan menjelang tahun 2050.
“Sebab buat masa ini, kita tiada pilihan kerana kalau ingin capai karbon sifar menggunakan teknologi tenaga boleh baharu (RE) sahaja memang tidak akan berjaya kerana ini adalah senario di peringkat global. Malah, banyak pihak sudah akui bahawa mahu atau tidak kita perlu masukkan keperluan tenaga kita menggunakan nuklear,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Nuklear Malaysia bersama Alam Flora Environmental Solutions Sdn Bhd (AFES) di Dewan Tun Dr Ismail, Kompleks Agensi Nuklear Malaysia, Bangi, dekat sini, pada Selasa.
Rosli berkata, kebanyakan industri di luar juga sudah mula mempertimbangkan penggunaan tenaga nuklear secara serius berikutan bahan api fosil dan arang adalah penyumbang terbesar dalam pelepasan karbon pada masa kini.
“Tetapi, sama ada ia akan dilaksanakan atau tidak itu bergantung kepada pertimbangan Kementerian Tenaga (Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam). Kita lihat nanti dasar bagi kementerian ini dalam dua ke tiga tahun akan datang,” katanya.
Mengenai memorandum kerjasama yang dimeterai bersama AFES pada Selasa, beliau berkata ia bertujuan bagi memanfaatkan teknologi nuklear dalam menangani pencemaran alam sekitar dan memberi manfaat kepada rakyat dengan mengarusperdanakan penggunaan teknologi nuklear secara aman di Malaysia.
Katanya, skop kerjasama itu merangkumi penyelidikan penyinaran-pirolisis sisa plastik; perkembangan dan pengadaptasian tenologi nuklear dan yang berkaitan serta bersesuaian dengan industri kitar semula plastik; serta pembangunan loji berskala rintis bagi teknologi penyinaran-pirolisis.
“Diharapkan juga bahan bakar bernilai tinggi yang dihasilkan kelak dapat menyumbang kepada salah satu sumber baharu kepada negara dan secara tidak langsung dapat meningkatkan ekonomi negara,” katanya.
Majlis pemeteraian kerjasama itu telah menyaksikan pertukaran MoU antara Rosli yang mewakili Nuklear Malaysia dengan Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn Bhd merangkap Pengarah AFES, Datuk Mohd Zain Hasan.
Sementara itu, Mohd Zain berkata, kolaborasi itu juga dilihat akan memanfaatkan teknologi nuklear canggih dalam pelaksanaan teknologi penukaran sisa plastik terpakai kepada bahan bakar seperti diesel serta pengitaran semula plastik terpakai secara inovatif.
–BERNAMA