
Celcom bekerjasama dengan Aerodyne teroka teknologi dron
KUALA LUMPUR,. Celcom Axiata Bhd memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Aerodyne Group untuk meninjau pembangunan teknologi dron sebagai penyelesaian Revolusi Perindustrian (IR) 4.0, dengan tumpuan kepada sektor bandar dan pertanian.
Dalam kenyataan bersama hari ini, katanya cadangan kerjasama itu memberi peluang untuk sama-sama membangunkan dan memasuki pasaran dengan penyelesaian inovatif, memanfaatkan kekuatan kedua-dua pihak dalam teknologi telekomunikasi, automasi, Kecerdasan Buatan (AI), Pembelajaran Mesin dan teknologi 5G.
Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Idham Nawawi berkata dalam usaha untuk menjadi pengupaya dalam penggunaan teknologi IR4.0, Celcom amat mengalu-alukan kerjasama dengan pelbagai rakan kongsi, terutamanya syarikat teknologi tempatan dan syarikat baharu.
“Kerjasama tersebut penting untuk mengukuhkan asas dalam membina kepakaran yang mampan dalam ekosistem tempatan dan membolehkan pelbagai industri di Malaysia melaksanakan sepenuhnya revolusi perindustrian.
“Kerjasama dengan syarikat teknologi tempatan seperti Aerodyne adalah sebahagian daripada strategi Celcom ke arah sokongan digital yang lebih kukuh untuk usahawan teknologi dan digital tempatan,” katanya.
Aerodyne dan rakan penyelesaiannya juga akan mempunyai peluang untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif Pusat Kecemerlangan Digital (CODE) Celcom yang akan datang, dengan tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan dalam teknologi telekomunikasi, dan mempunyai potensi membangunkan bersama kes penggunaan yang penting untuk mengoptimumkan industri yang telah dikenal pasti.
Katanya cadangan pembangunan penyelesaian inovatif mempunyai potensi untuk membuka laluan kepada Celcom untuk mengembangkan penawaran penyelesaian perniagaan kepada perniagaan (B2B) dalam ekosistemnya.
Selain itu, penyelesaian dron sedia ada Aerodyne juga akan dijana oleh Celcom dan akan dikembangkan secara berperingkat kepada pelbagai penyelesaian Aerodyne.
Idham berkata inisiatif ini juga merupakan lanjutan daripada sokongan yang diberikan oleh Axiata Digital Fund, melalui pelaburannya dalam Aerodyne sebelum ini.
“Kami berharap dapat membangunkan lebih banyak kerjasama yang sama untuk terus memberi inspirasi kepada usahawan teknologi Malaysia dan syarikat baharu untuk menggunakan Internet of Things dan penyelesaian AI dengan lebih cepat, dan pada masa sama menyumbang kepada membina ekosistem digital tempatan yang inklusif,” katanya.
— BERNAMA