
CelcomDigi, Huawei Malaysia meterai MoU kerjasama bangunkan 5G dan AI
KUCHING: CelcomDigi Bhd dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam mengintegrasikan kecerdasan buatan (AI) ke dalam rangkaian CelcomDigi.
Menurut satu kenyataan pada Jumaat, kerjasama itu akan meneroka penggunaan keupayaan AI pada Rangkaian Akses Radio (RAN) CelcomDigi yang juga dikenali sebagai ‘IntelligentRAN.’
Ini termasuk penggabungan sistem berkembar digital untuk membolehkan eksperimen pantas model rangkaian baharu, di samping melaksanakan keupayaan pengurusan rangkaian proaktif melalui analitik lanjutan dan memanfaatkan pelbagai sistem sokongan untuk menyediakan perkhidmatan rangkaian secara bijak bagi meningkatkan pengalaman pelanggan.
Mengulas mengenai kerjasama itu, Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi Datuk Idham Nawawi berkata, negara berada dalam kedudukan utama untuk menjadi peneraju serantau dalam pembangunan 5G dan AI.
“Kami secara proaktif melabur untuk membina rangkaian 4G dan 5G yang paling maju di negara ini bagi merealisasikan cita-cita tersebut, selain memenuhi keperluan pengguna dan perusahaan dalam era baharu ‘digital-everything’ yang dikuasakan 5G-AI.
“Dengan rangkaian dipacu AI yang mantap, kami percaya kami berada di kedudukan terbaik untuk menggunakan rangkaian 5G berprestasi tinggi bagi memperkasakan masa depan digital Malaysia,” ujarnya dalam kenyataan tersebut.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia Simon Sun menekankan bahawa Malaysia berada pada titik perubahan untuk menggunakan kecerdasan rangkaian seiring kemajuan teknologi AI.
“Visi kami adalah untuk membina rangkaian pintar di seluruh Malaysia dan dalam mencapai matlamat ini, Huawei Malaysia berkembang melebihi peranannya sebagai penyedia penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) ke arah arkitek kerjasama rangkaian dipacu AI.
“Dengan menggunakan ‘IntelligentRAN’ bersama CelcomDigi, kami akan membuka kunci nilai perniagaan yang ketara.
“Ia membenarkan penyepaduan penuh keupayaan AI merentas semua lapisan rangkaian wayarles dan membolehkan kejayaan perniagaan 5G,” katanya.
Menerusi kerjasama itu, CelcomDigi dan Huawei Malaysia juga akan meneroka bersama dalam memanfaatkan penumpuan data merentas domain daripada platform Huawei untuk mendapatkan pandangan menyeluruh tentang kitaran hayat pelanggan dan perkhidmatan.
Ini sekali gus membolehkan pengurusan pengalaman pengguna yang proaktif dan menyokong transformasi digital lancar merentas operasi rangkaian syarikat.
-Agensi