Cepatwawasan tingkat kepentingan dalam Mistral bagi memenuhi syarat SEDA

KUALA LUMPUR,. Cepatwawasan Group Bhd (CGB) sedang melaksanakan penstrukturan semula dalaman untuk meningkatkan kepentingan dalam subsidiari penjanaan tenaga, Mistral Engineering Sdn Bhd kepada 81.73 peratus daripada 62.71 peratus sekarang ini.

Ini bertujuan bagi mematuhi syarat Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA) yang mahu Mistral untuk menjadi entiti yang dimiliki secara majoriti oleh rakyat Malaysia jika ia mahu terlibat dalam skim tarif galakannya, kata kumpulan perladangan kelapa sawit itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Mistral mengendalikan loji jana kuasa biogas dan merupakan anak syarikat milik penuh Timah Resources Ltd (TML), sebuah syarikat yang tersenarai di Australia Securities Exchange Ltd.

CGB mempunyai kepentingan tidak langsung dalam Mistral melalui anak syarikat milik penuhnya, Cash Nexus (M) Sdn Bhd, yang memegang 62.71 peratus kepentingan dalam TML.

Pada 15 Julai, pemegang-pemegang saham TML meluluskan terbitan baharu sebanyak 9.62 juta saham dalam Mistral pada nilai RM1.64 sesaham berjumlah RM15.8 juta kepada Cash Nexus sebagai balasan bagi pertukaran sebahagian daripada hutang yang ditanggung Mistral kepada CGB.

“Sebaik sahaja penstrukturan semula dalaman ini selesai, struktur pemilikan baharu Mistral adalah 51 peratus oleh Cash Nexus dan 49 peratus dimiliki oleh TML,” kata CGB.

Pegangan saham CGB yang efektif dalam Mistral akan meningkat kepada 81.73 peratus, dengan mengambil kira pemilikan saham sebanyak 62.71 peratus Cash Nexus dalam TML.

“Tanpa penstrukturan semula, Mistral akan terjejas akibat pengurangan sumber pendapatan dan mungkin tidak berdaya maju.

“Selain itu, Mistral akan menjimatkan kos faedah tahunan sebanyak RM850,212 hasil daripada pengurangan hutang kepada CGB berjumlah RM15.8 juta,” katanya.

Menurut CGB lagi, penstrukturan semula dalaman ini dijangka akan diselesaikan dalam tempoh masa yang munasabah dan masa pemprosesan yang diperlukan untuk dokumentasi statutori.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )