China bantah pembangunan, pemilikan, penggunaan senjata biologi

China bantah pembangunan, pemilikan, penggunaan senjata biologi

BEIJING: China tegas dengan pendiriannya bahawa semua senjata pemusnah besar-besaran perlu diharamkan dan dimusnahkan sepenuhnya termasuk senjata biologi, kata Naib Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Dai Bing.

Beliau berkata China yang pernah menjadi mangsa senjata biologi ketika Perang Dunia II turut menentang pembangunan, pemilikan dan penggunaan senjata itu dalam apa jua keadaan.

Ketika berucap dalam sidang Majlis Keselamatan PBB mengenai isu keselamatan biologi pada Rabu, beliau menyatakan China menggesa negara pemilik senjata biologi untuk memusnahkan senjata itu secepat mungkin, selain meminta semua negara penandatangan Konvensyen Senjata Biologi mematuhi sasaran dan prinsip konvensyen berkenaan.

“Situasi terkini dalam bidang biokeselamatan menunjukkan bahawa keutamaan adalah tertumpu kepada usaha untuk menyambung semula rundingan mengenai protokol pemeriksaan kepada Konvensyen serta pembinaan mekanisme pemeriksaan pelbagai hala yang adil, bebas dan profesional.

“Mekanisme itu merupakan kaedah penting untuk menghapuskan potensi ancaman senjata biologi serta meningkatkan prestasi dan keberkesanan Konvensyen,” kata Dai.

Pada masa sama, beliau menyatakan bahawa pembinaan mekanisme itu tidak boleh diganggu oleh mana-mana negara.

“Rusia baru-baru ini mendedahkan sejumlah besar dokumen tentang aktiviti biomilitari yang dijalankan oleh Amerika Syarikat (AS) dan menjadi perhatian masyarakat antarabangsa.

“Wabak COVID-19 mengajar kita bahawa biokeselamatan yang merupakan sebahagian penting dalam memelihara keamanan dan keselamatan antarabangsa, adalah tiada batasan dan melibatkan kepentingan bersama semua manusia,” tambah Dai.

Menurutnya, China mengalu-alukan masyarakat antarabangsa memberikan penilaian tentang dokumen yang didedahkan Rusia dalam kerangka Konvensyen dan PBB serta mendengar penjelasan negara-negara berkenaan secara sama rata serta adil.

Menurut Dai, negara-negara yang terlibat pula perlu bertanggungjawab untuk meningkatkan ketelusan aktiviti biologi global bagi menghapuskan kebimbangan masyarakat antarabangsa.

-BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)