
China kekalkan perdagangan yang kukuh dengan ASEAN, negara BRI dari Januari-Mei
Perdagangan China dengan ASEAN dan negara rakan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) terus menunjukkan perkembangan positif bagi tempoh lima bulan pertama 2025, dengan perdagangan antara China dan ASEAN meningkat 9.1 peratus tahun ke tahun kepada 3.02 trilion yuan (US$415.5 bilion).
Perdagangan dengan negara-negara BRI pula meningkat 4.2 peratus kepada 9.24 trilion yuan, menurut Pentadbiran Am Kastam (GAC) China.
ASEAN kekal sebagai rakan dagangan terbesar China bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini.
Secara keseluruhannya, ia berkata jumlah import dan eksport barangan China dalam denominasi yuan berkembang 2.5 peratus tahun ke tahun kepada 17.94 trilion yuan (AS$2.5 trilion) bagi tempoh lima bulan pertama.
Ini mencerminkan daya tahan perdagangan luar negara walaupun berdepan dengan ketidaktentuan luaran.
Jumlah eksport negara itu meningkat 7.2 peratus tahun ke tahun kepada 10.67 trilion yuan, manakala import merosot 3.8 peratus tahun ke tahun kepada 7.27 trilion yuan bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini.
Memetik laporan yang diterbitkan dalam Global Times, jumlah import dan eksport barangan China dalam denominasi yuan meningkat 2.7 peratus tahun ke tahun kepada 3.81 trilion yuan bagi Mei sahaja.
Sementara itu, perdagangan China dengan Kesatuan Eropah (EU) meningkat 2.9 peratus kepada 2.3 trilion yuan, manakala perdagangan dengan Amerika Syarikat susut 8.1 peratus kepada 1.72 trilion yuan dalam tempoh lima bulan yang sama.
GAC berkata negara itu telah mengekalkan daya tahan perdagangan asing dan pertumbuhan yang stabil walaupun menghadapi cabaran persekitaran luaran dan akan terus melaksanakan langkah-langkah bagi mengoptimumkan struktur perdagangan China demi memastikan pembangunan perdagangan antarabangsa yang berkualiti tinggi.
— BERNAMA