China pemacu utama pertumbuhan ekonomi Asia Pasifik – IMF

China pemacu utama pertumbuhan ekonomi Asia Pasifik – IMF

BEIJING,. Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam laporan tinjauan ekonomi rantau Asia Pasifik mutakhir ini meramalkan bahawa kadar pertumbuhan ekonomi di rantau berkenaan akan mencapai 4.6 peratus pada 2023 berbanding 3.8 peratus pada 2022.

Antaranya, ekonomi China dijangka menyaksikan peningkatan sebanyak 5.2 peratus, sekali gus menjadi pemacu utama pertumbuhan di rantau Asia-Pasifik.

Laporan itu menegaskan bahawa walaupun ekonomi dunia penuh dengan cabaran, ekonomi rantau Asia-Pasifik masih penuh dengan kedinamikan, terutamanya disebabkan oleh pemulihan pesat ekonomi China dan daya tahan pertumbuhan ekonomi India.

Untuk rekod, rantau Asia-Pasifik dijangka akan menyumbang sebanyak 70 peratus pertumbuhan ekonomi global pada tahun ini.

Menurut laporan itu, walaupun ekonomi China menghadapi unsur negatif seperti kemerosotan permintaan pasaran antarabangsa dan dasar monetari yang semakin ketat oleh beberapa entiti ekonomi utama, namun permintaan domestik China yang kekal rancak memberikan momentum baharu terhadap pertumbuhan ekonomi di China.

Laporan itu meramalkan bahawa entiti ekonomi maju di rantau Asia Pasifik akan berkembang sebanyak 1.6 peratus pada 2023, dengan ekonomi Australia, Jepun dan Korea Selatan akan berkembang masing-masing sebanyak 1.6 peratus, 1.3 peratus dan 1.5 peratus.

Pada masa sama, pasaran baharu muncul dan entiti ekonomi membangun pula dijangka berkembang sebanyak 5.3 peratus, antaranya India, Indonesia, Malaysia dan Thailand masing-masing diramal meningkat sebanyak 5.9 peratus, 5 peratus, 4.5 peratus dan 3.4 peratus.

IMF dalam laporan itu turut memberi amaran bahawa pertumbuhan ekonomi global mungkin menjadi perlahan disebabkan faktor seperti kenaikan kadar faedah oleh negara Barat dan krisis di Ukraine yang memberi tekanan kepada aktiviti ekonomi.

Di samping itu, kadar inflasi yang melambung tinggi di beberapa negara, dan krisis perbankan di Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah juga membawa banyak ketidaktentuan kepada prospek ekonomi.

Menurut ramalan terbaharu yang dikeluarkan oleh IMF pada April lalu, ekonomi global akan berkembang sebanyak 2.8 peratus pada 2023, dan sumbangan China kepada pertumbuhan ekonomi global akan merekodkan sebanyak 34.9 peratus.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )